Sunday, September 23, 2018

Rafizi: Calon rasa akan kalah pasang orang buat kacau

MALAYSIAKINI

   

PEMILIHAN PKR | Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli memberi amaran bahawa ada kumpulan tertentu sengaja mencetuskan kekecohan dalam pemilihan parti itu.

Beliau berkata kumpulan berkenaan akan mula mencetuskan provokasi apabila merasakan calon pilihan mereka akan tewas.

“Bila dia rasa nak kalah akan ada orang buat provokasi, mereka akan mula marah-marah nak buat protes. Calon yang rasa dia nak kalah memang pasang orang nak buat kacau.

“Saya akan suarakan pada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim lepas ini kita minta kerjasama polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Ada orang gila nak pecahkan kepala, kita panggil polis bubuh mereka dalam lokap,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.

Naib presiden PKR itu berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan Pasukan Reformasi 20 Tahun di ibu negara, malam tadi.

Semalam, kekecohan dan pergaduhan dilapor tercetus di kalangan anggota PKR di Seberang Jaya, Pulau Pinang sehingga menyaksikan adegan membaling kerusi kepada pihak lawan.

Ketegangan juga dilapor berlaku di Kedah, memaksa pemilihan di lapan daripada 15 cabang di negeri itu ditangguhkan.


Lewat malam tadi, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memutuskan proses pengundian di lima negeri – Kedah, Perak, Perlis, Melaka dan Johor – ditangguh.

Bagaimanapun keputusan pengundian di Pulau Pinang diterima.

Kubu 'kartel' ditembusi

Rafizi berkata pemilihan PKR di Pulau Pinang semalam memihak kepadanya, walaupun diketahui umum negeri itu merupakan kubu kuat 'kartel' - gelaran yang diberikan kepada pasukan Datuk Seri Azmin Ali yang mempertahankan jawatan timbalan presiden.

“Pulau Pinang, pengerusinya (Datuk) Mansor Othman kawan baik Azmin dan dilihat kubu kuat pasukan kartel, tetapi keputusan dari cabang yang keluar menunjukkan kalau saya tak menang pun, saya hanya berada beberapa puluh atau ratus undi, saya sedang mendahului di Pulau Pinang,” katanya di hadapan kira-kira 200 ahli PKR.



Dalam ucapannya, Rafizi juga mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa Azmin pernah bertemu Anwar di Turki untuk meminta kebenaran bertanding jawatan presiden.

“Kalau saya fitnah reka cerita, sudah tentu peguam yang rapat dengan Azmin, mereka ada Latheefa Koya, N Surendran sudah saman saya.

“Sahabat kita memang jumpa Anwar untuk minta jadi presiden tapi bila Anwar nyatakan dia akan bertanding sepatutnya ok lah.

“Masalahnya memang ada kumpulan kartel yang pandangan mengenai parti dan Anwar tak sama macam kita,” katanya.

'Mahathir dah tua'

Rafizi berkata rancangan meletakkan Anwar di Parlimen adalah persediaan untuk peralihan kuasa sekiranya sesuatu berlaku kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Dr Mahathir umur dah 93 tahun. Alhamdulillah dia hidup lama dan masih bekerja. Lazimnya orang umur 93, 94 tahun, kita kena simpan buat perancangan.

Kalau Dr Mahathir sakit dan tidak sihat, siapa nak jadi perdana menteri lepas itu.

“Contohnya kalau Dr Mahathir tak dapat berkhidmat, untuk ada peralihan kuasa yang licin itu bermakna ada kekosongan kuasa, orang tengok negara kita tak stabil, dan huru-hara, semua orang nak jadi perdana menteri,” katanya seperti dilapor.

Anwar dijangka bertanding kerusi Parlimen Port Dickson selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah melepaskan kerusi itu.

Pilihan Raya Kecil Port Dickson dijadual berlangsung 13 Oktober depan.


No comments: