Tuesday, September 4, 2018

'Permusuhan PAS pada Umno tak melampaui batas'

MALAYSIAKINI

   

Seorang pemimpin kanan PAS berkata kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berkelakuan seperti Umno dulu apabila "berbohong" semasa berjanji.

Menurut Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ada banyak pembohongan dilakukan HARAPAN, dan yang terbaru, memansuhkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tanpa membawa alternatif baru.

"Betul atau tidak, kerajaan hari ini membenarkan (menunaikan) janjinya? Bohong!

"Manifesto yang bohong, dan mereka tidak malu untuk mengatakan tidak wajib dan tidak mesti dilaksanakan manifesto. Mereka tak malu, tak ada akhlak," katanya dipetik portal berita rasmi PAS, harakahdaily.

Nik Mohamad Abduh yang juga anggota parlimen Bachok berkata demikian semasa menyampaikan ceramah sempena pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia di Shah Alam malam tadi.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkenaan berkata perbuatan memungkiri janji atau mengkhianati amanah yang diberikan pernah dijelaskan kedudukannya oleh Rasulullah SAW suatu ketika dulu.

Pun begitu Nik Mohamad Abduh menjelaskan walaupun PAS pernah berseteru dengan Umno selama berpuluh-puluh tahun, parti itu bersikap sederhana.

Semua jadi abu

Katanya ia berbeza dengan pendekatan diambil HARAPAN.

"Kita (PAS) berbalah dengan Umno puluhan tahun, tetapi kita tidak melampaui batas.

"Kita marah Umno apa yang patut dimarah, kita puji apa yang patut dipuji. Tapi PH (HARAPAN) apabila dia marah, dia benci sungguh-sungguh pada Umno. Semua jadi abu dalam Umno," katanya lagi secara berkias.

Nik Mohamad menambah kini pemimpin HARAPAN menunjukkan bersikap yang keterlaluan.

"Hari ini kita tengok PH yang bercakap begitu kasar pada orang lain, melampaui batas... tengok bagaimana dia bina negara? Seratus hari buruk dan selepas 100 hari lebih buruk," katanya.

Untuk rekod menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu PAS meletakkan parti itu dalam kedudukan mahu menjadi king maker dan yakin berpeluang cerah menjadi kerajaan walaupun tidak menyertai blok HARAPAN yang disertai parti pembangkang utama.




PAS sebaliknya membentuk Gagasan Sejahtera bersama parti kecil seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang dipimpin bekas anggota kanan Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Pada masa sama PAS dilihat bersikap lunak kepada Umno.

Selepas PRU ke-14 berakhir HARAPAN mendapat mandat menjadi kerajaan, sekali gus meletakkan Umno sebagai pembangkang.

PAS pula - disebalik percaturan meletakkan hampir 160 calon di pelbagai kerusi di seluruh negara - kekal menjadi pembangkang di peringkat pusat walaupun mengekalkan penguasaan ke atas Kelantan dan merampas Terengganu.

Apa nak jawab pada rakyat

Pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu PAS memberikan sokongan kepada calon Umno, Datuk Lokman Noor Adam, namun gagal merampas kerusi berkenaan daripada HARAPAN.

Di Seri Setia Umno pula memberikan sokongan kepada PAS yang meletakkan calonnya Dr Halimah Ali.

Kedua-dua parti juga semakin akrab dalam kerjasama politik atas alasan mahu mengukuhkan pembangkang.

Kata Nik Mohamad Abduh PAS tidak pernah mengaku ia sebuah parti suci atau terlepas daripada sebarang masalah.

Namun kata bekas ketua Pemuda PAS berkenaan partinya terbukti tidak menghadapi sebarang isu integriti atau akhlak, malah berjaya berkhidmat dengan sebaik-baiknya.

Dalam ceramah sama Nik Mohamad Abduh turut menegaskan ada semacam rahmat tersembunyi di sebalik tindakan PAS menarik diri daripada Pakatan Rakyat (PAKATAN).

Katanya jika masih kekal bersama gabungan berkenaan kemungkinan besar ada pemimpin PAS kini menjadi menteri.

"Tapi (dengan keadaan) hari ini, kalau PAS bersama PAKATAN ke Putrajaya, kalahkan Umno, apa PAS nak jawab pada rakyat?

"Ketika mana hari ini mungkin pimpinan PAS dah jadi menteri, apa kita nak jawab dengan segala yang berlaku selama 100 hari ini?" katanya.


No comments: