Menurut Tengku Razaleigh memandangkan Bersatu hanya memiliki 12 kerusi sahaja namun menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan PH tentunya ini strategi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencari ‘orang luar’ bagi menguatkan kedudukan komponen itu dalam Parlimen.
“Situasi hari ini parti yang terkecil memimpin kerajaan sekarang ialah parti Bersatu Mahathir. Jadi barangkali Bersatu mencari-cari orang luar daripada PH untuk menguatkan lagi kedudukan mereka dalam Parlimen.
“Hal ini supaya perebutan kuasa antara dua kelompok ini (Bersatu dan PKR) dalam PH akan dapat diredakan dengan adanya pihak yang menyokong langkah ini.
“Ini kesimpulan saya, sebab itu saya rasa Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman ini diusik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Langgak Golf, di sini, hari ini.
Tambahnya, umum maklum memang wujud konflik antara Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua-dua mereka tidak kuat, oleh itu masing-masing gigih mencari sokongan luar.
Sementara itu, Tengku Razaleigh juga menambah trend keluar parti di kalangan pemimpin Umno ini terjadi didorong oleh beberapa faktor peribadi.
“Kita baru kalah, mereka ini pula sudah biasa dengan kedudukan, kehidupan sekarang juga berlainan daripada dulu.
“Maka kalau ada tawaran atau pujukan, itu akan mempengaruhi pemikiran mereka. Jadi, sama ada mereka bergerak ke sebelah sana ataupun tidak, bergantung kepada kepentingan mereka tak ada kena mengena dengan politik..lebih kepada sebab peribadi,” ujar beliau.
Bekas Menteri Kewangan ini juga menambah pemimpin Umno yang berhasrat meninggalkan parti, bebas berbuat demikian tanpa sebarang halangan.
“Bagi saya mereka bebas nak ke mana pun, biarlah jernih keadaan dalam Umno ini. Sesiapa yang tak ada iman kuat untuk bersama dengan Umno sepanjang masa biarlah mereka pergi, tak upaya kita nak kepung, kawal sana sini, nak pasang spy.
“Kalau mereka tak setia dengan perjuangan tak usah pujukla, lagipun kita parti kalah, tak ada kuasa.
Malah bagi saya tindakan Mustapa meninggalkan Umno juga bukan keputusan yang mengejut,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment