Wednesday, September 5, 2018

Pelantikan ketua kampung di Johor minggu depan, kata Exco



Pelantikan ketua kampung di Johor minggu depan, kata Exco

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, pelantikan jawatan Ketua Kampung bagi seluruh daerah di Negeri Johor telah memasuki fasa terakhir bermula dari minggu hadapan sebagai semakan dari jawatankuasa pemilihan.

Katanya, nama-nama yang dihantar kepada pihak kerajaan telah pun sempurna sepenuhnya dan akan dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa negeri pada Rabu ini.

“Jangkaan proses terakhir itu akan berlaku seawal minggu hadapan dan ini akan memberi peluang kepada jawatankuasa pemilihan untuk mengesahkan.

“Kami telah menerima sepenuhnya senarai nama yang dihantar dan ia akan dibawa kepada mesyuarat jawatankuasa pada Rabu ini sebelum ia diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan.

“Segala pelantikkan Ketua Kampung akan berlangsung dalam bulan September ini dan tarikh akhir yang diberikan pada kami adalah sebelum 1 Oktober,” ujarnya.

Ahli Dewan Negeri (Adun) Kota Iskandar itu juga menegaskan, bahawa proses terakhir melalui jawatankuasa pemilihan itu tidak akan membabitkan orang politik.

Beliau juga menjelaskan pemilihan Ketua Kampung ini dibuat secara telus sesuai dengan prinsip Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Tidak ada orang-orang politik yang terbabit dalam jawatankuasa pemilihan tersebut. Jawatankuasa tersebut akan menilai tahap kebolehan seseorang individu untuk dilantik sebagai Ketua Kampung.

“Segala penilaian akan dibuat oleh pihak jawatankuasa tersebut seperti isu-isu yang membabitkan jenayah, peribadi yang tidak baik, muflis dan sebagainya.

“Sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam semakan terakhir tersebut. Pihak kerajaan akan menyerahkan kewibawaan jawatankuasa yang berhak itu,” ujarnya.

Mengulas soalan wartawan berkenaan dengan kemungkinan nama yang akan disingkirkan, beliau tidak menafikan perkara itu berkemungkinan berlaku.

No comments: