Monday, September 17, 2018

MIC didakwa rasuah Tok Batin, kerusi Parlimen Cameron Highlands goyah


Roketkini.com

Kerusi Parlimen Cameron Highlands yang menyaksikan kemenangan Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh dengan majoriti tipis 597 undi menewaskan calon Pakatan Harapan M. Manogaran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kembali panas dengan pendedahan terkini wujudnya rasuah pilihanraya.

Pendedahan itu dinyatakan dalam Mahkamah Pilihan Raya sejak minggu lalu oleh beberapa saksi terdiri dari Tok Batin yang mendakwa diberi ‘duit rokok’ sebagai rasuah daripada pimpinan Barisan Nasional Pahang.

Perbicaraan ini dimulakan susulan tindakan Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya pada Jun lalu bagi mencabar keputusan PRU kawasan tersebut.

Situasi ini sekaligus memberi tamparan kepada BN Pahang dan memungkinkan berlakunya satu lagi Pilihan Raya Kecil sekiranya didapati melanggar akta pilihan raya.

Memberitahu kepada Mahkamah, Tok Batin Harun Siden dari Kg Tual, berkata beliau menyaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Adun Jelai) dan calon MIC Sivarraajh memberi sejumlah RM300 kepada dirinya termasuk enam tok batin yang lain.

“Wan Rosdy dan Sivarrajh naik helikopter dan mendarat dekat Kampung Tual dan Kampung Sinderut untuk menghadiri sukaneka pada 6 Mei,” katanya lapor Malaysiakini.

Terkini, Yahya a/l Pengsan, 50, mendakwa beliau melihat sendiri Wan Rosdy memberi wang untuk diagihkan kepada Tok Batin dari enam kampung berjumlah RM17,500 untuk diagihkan kepada Orang Asli di kampung masing-masing.

“Di sana saya melihat sendiri Wan Rosdy beri RM17,500 kepada jentera BN dan wang itu kemudian diagihkan kepada enam Tok Batin termasuk saya sendiri,” katanya.

Menurut Seksyen 7 hingga 11, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 segala bentuk rasuah pilihan raya diklasifikasi sebagai aktiviti berkaitan penyamaran; jamuan; pengaruh tidak wajar dan penyogokan yang berlaku sama ada sebelum, semasa mahu pun selepas pilihan raya diadakan.

Jika didapati bersalah, pesalah boleh dikenakan tindakan atau hukuman penjara serta denda termasuk boleh mengakibatkan kekosongan kerusi di mana pilihan raya kecil perlu diadakan.

Pada PRU14 lalu, Parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan BN (10,307), PKR (9,710), PAS (3,587), PSM (680), dan BERJASA (81). – Roketkini.com


No comments: