KERAJAAN PH seumpama Kerajaan BN kelihatan masih gagal membendung gejala penagihan arak. Malah lebih teruk kini arak ‘out specification’ dengan kandungan alkohol yang terlalu tinggi mula menular.
Terkini disahkan sekurangnya 15 lelaki
disahkan meninggal dunia dan 33 lagi dimasukkan ke hospital dipercayai
akibat keracunan arak sekitar kawasan Lembah Klang sejak dua hari
lalu dan terdiri daripada warga asing dan warga tempatan. Dilaporkan
kini masih ada 33 lagi mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh (15
orang), Hospital Kajang (15 orang), Hospital Selayang (seorang),
Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (seorang) dan Hospital Shah Alam
(seorang) kerana mengalami simptom yang sama. Mereka dipercayai meminum
tiga jenis arak yang dikenalpasti iaitu Mandalay Whiskey, King Fisher Beer dan Grand Royal Whiskey.
Saya melihat bagaimana Undang-undang
yang sedia ada masih tidak berkesan menghalang penyeludupan arak
beralkohol tinggi yang bukan sekadar mabuk malah membunuh cepat
para peminumnya.
Malaysia yang pernah didedahkan sebelum
ini sebagai Negara ranking ke-10 dunia peminum arak. Beberapa tahun lalu
didedahkan Malaysia telah berada di ranking ke-10 negara konsumer arak
terbesar dunia dan disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang
menyatakan rakyat Malaysia menghabiskan lebih RM1.5 bilion setahun untuk
membeli arak.
Jika ditinjau kesannya setiap tahun, 30
peratus kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku kerana pengaruh
alkohol. Malah lebih teruk dari itu, arak juga sering dikaitkan dengan
jenayah penganiayaan, dera, rogol dan bunuh. Gejala pengambilan arak
juga kini sudah menular kalangan pelajar sekolah dengan arak murah
semurah RM3 yang juga mengandungi kadar alkohol yang tinggi serta pernah
didedah oleh majalah Mastika sekitar tahun 2009 lalu.
Saya juga melihat di saat Menteri
Kewangan dan Perdana Menteri mencanang bebanan ekonomi Negara dan hutang
Negara yang berbilion, kerajaan juga perlu menilai tahap kerugian
Negara kepada sektor perubatan yang membelanja wang besar untuk merawat
penyakit yang sengaja dicari seumpama ketagihan arak ini. Kes kanser
peparu, sakit jantung, kanser hati adalah antara perawatan yang berpunca
masalah ketagihan arak.
PAS mengajak kesemua kaum dan agama
bersatu menentang gejala ketagihan arak malah Islam amat benci kepada
kerosakan fizikal dan mental akibat meminum arak. Arak adalah pemusnah
nilai ketamadunan dan kewarasan rakyat. Rakyat yang mulia adalah
senantiasa menjaga diri, akal dan nyawa masing-masing. Semua agama tidak
mahu pasangan atau anak-beranak mereka mati sia-sia melalui gejala
penagihan arak yang membazir dan merosakkan sistem sosial Negara.
Saya juga mahu melihat kelantangan
Kabinet menyelar gejala ini dan mengambil sebarang tindakan yang paling
berkesan untuk membendung jenayah ini. Kabinet kerajaan tidak sepatutnya
hanya bingkas mengkritik dan menolak isu sebat cara syariah di
Terengganu.
Adakah mereka hanya kerajaan yang hanya
skeptikal dan alergik dengan perlakukan bersyariat semata-mata atau
benar ikhlas mahu menyelamatkan dan memartabatkan taraf rakyat
mereka sendiri.HARAKAHDAILY
*YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN, Ahli Parlimen Sik / Timbalan YDP PAS Kawasan Sik
No comments:
Post a Comment