Tuesday, September 18, 2018

Bawa pulang pesawat Jho Low dalam rundingan, kata Saifuddin

 


Kerajaan sedang dalam rundingan dengan pihak berkaitan bagi membawa pulang pesawat peribadi Jho Low di Singapura yang dipercayai dibeli dengan wang dicuri dari negara ini.

“Ya... memang ada rundingan mengenainya. Saya tidak kata dengan kerajaan Singapura tetapi dengan pihak-pihak yang terlibat,” kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

“Ada pihak yang diamanahkan untuk membuat rundingan tersebut. Tetapi adalah lebih baik untuk saya tidak menghebahkan perkara ini kerana mungkin boleh menjejaskan proses rundingan tersebut,” katanya pada sidang media selepas menemui kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Menara DBP di sini, hari ini.

Menurut laporan media, jet peribadi Bombardier Global 500 itu dianggarkan bernilai US$35 juta (RM143 juta) didakwa dibeli oleh Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho dengan menggunakan wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dirampas pihak berkuasa Singapura pada 2017.

Sementara itu, Saifuddin berkata Kementerian Luar akan memainkan peranan dalam mempromosi bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa menerusi kedutaan Malaysia di seluruh dunia.

“Kita akan mempopularkan bahasa dan istilah Bahasa Melayu menerusi ucapan-ucapan duta Malaysia yang dilantik agar ia mudah dikenali oleh masyarakat luar.

“Kementerian juga bercadang menukar cenderamata yang diberikan semasa sesi lawatan ke negara lain kepada buku-buku terbitan DBP,” kata Saifuddin.- Bernama


No comments: