Friday, September 21, 2018

Bajet 2019 sukar untuk kerajaan

SINAR  HARIAN

Bajet 2019 sukar untuk kerajaan
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kiri) bersalaman dengan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab ketika hadir pada program Ruang Bicara bertajuk ‘Sales and Services Tax (SST)’ di Wisma Bernama hari ini.Foto - Bernama
 
 
KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan Bajet 2019 yang akan dibentangkan November ini sebagai belanjawan yang sukar bagi Kerajaan Persekutuan.

Bajet itu yang pertama untuk kerajaan Pakatan Harapan, dijadual untuk dibentangkan di Parlimen pada 2 November ini.

“Kita perlu membetulkan kewangan fiskal dan pada masa sama perlu juga meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kita harap rakyat akan faham bahawa kita perlukan masa tiga tahun untuk berbuat demikian," katanya.

Terdahulu, Guan Eng berkata kerajaan sememangnya mengharapkan perkembangan yang positif dalam usaha mengurangkan bebanan hutang negara dalam masa tiga tahun, walaupun meraih hasil kutipan cukai lebih rendah.

Di bawah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kerajaan dijangka mengutip sejumlah RM21 bilion pada tahun depan berbanding RM44 bilion menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Melalui pelaksanaan SST yang telah ditambahbaik, kerajaan sudah ‘mengembalikan’ semula jumlah kutipan cukai yang dianggarkan sekitar RM23 billion kepada rakyat,” katanya. - Bernama

No comments: