Monday, September 3, 2018

Asyraf Wajdi: HARAPAN amal undang-undang rimba?

MALAYSIAKINI

   

Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi kecewa dengan keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas menggugurkan pertuduhan terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan menyifatkannya sebagai "titik hitam dalam sejarah Malaysia baru" di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Keputusan Peguam Negara Tommy Thomas yang juga bekas peguambela Lim Guan Eng menggugurkan pendakwaan kes rasuah melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng amat menduka-citakan dan menjadi titik hitam dalam sejarah permulaan Malaysia baru di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

"Justeru, Pemuda Umno mendesak agar pihak peguam negara telus menjelaskan kenapa ditarik balik pendakwaan ke atas Lim Guan Eng dan kenapa kes ini bukan satu bentuk gratifikasi atau rasuah sedangkan beliau merupakan penjawat awam yang menerima harta yang jelas rendah nilainya.

"Sepatutnya mahkamah yang menentukan sama ada beliau benar-benar bersalah ataupun tidak dan bukan peguam negara...," katanya.

Asyraf juga berkata pengguguran kes bekas ketua menteri Pulau Pinang itu tanpa penjelasan Pejabat Peguam Negara (AGC) menyerlahkan prinsip keadilan tidak dilaksanakan, menyebut SPRM sendiri mengeluarkan kenyataan terkejut dengan keputusan berkenaan.

"Lebih mengejutkan apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri mengeluarkan kenyataan ‘amat terkejut’ dengan keputusan pengguguran kes rasuah Lim Guan Eng ini.

"Pengguguran kes Guan Eng tanpa penjelasan yang kukuh dan justifkasi yang jelas oleh Pejabat Peguam Negara hanya menyerlahkan bahawa keadilan hakikatnya tidak dilaksanakan.

"Akhirnya bukannya ‘rule of law’ yang dimartabatkan tapi ‘rule of jungle’ yang diamalkan," katanya.


No comments: