Sunday, September 2, 2018

AHLI PARLIMEN: HUJUNG TAHUN INI – ANWAR

Wartawan Watan-Online
 



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan beliau akan kembali semula menjadi Ahli Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum membuat keputusan mengenai kerusi Parlimen yang ingin beliau tandingi dalam pilihan raya kecil (PRK).

“Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum yang saya akan kembali ke Parlimen, insya-Allah jika menang (PRK) sebelum hujung tahun… mungkin Oktober.

“Saya akan memberi tumpuan kepada inisiatif membawa pembaharuan kepada Parlimen bagi menyokong usaha yang dibawa kerajaan di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam wawancara bersama NSTP di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Sebelum ini, pada PRK Sungai Kandis yang lalu, Anwar dilaporkan berkata kerusi Parlimen akan dikosongkan bagi memberikan beliau ruang untuk bertanding.

Langkah itu dilihat sebagai persediaan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Perjanjian Pakatan Harapan (PH) yang dipersetujui Januari lalu menetapkan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ketujuh dan Anwar sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Beberapa pemimpin PKR sebelum ini menyatakan kesediaan menawarkan kerusi mereka kepada Anwar.

Antaranya, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul selepas isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulungnya, Nurul Izzah dikatakan enggan melepaskan kerusi Parlimen Pandan serta Permatang Pauh.

Ahli Parlimen paling muda dalam sejarah negara, P Prabakaran pula menyangkal dakwaan beliau akan dibayar RM25 juta untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi Parlimen Batu.

Yang turut disebut ialah dua Ahli Parlimen Bebas di Perak turut dirisik supaya memberi ruang kepada Anwar, namun Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan perkara itu.


No comments: