Dilihat aktif menyatakan pandangannya secara terus terang - terutama membabitkan PAS - di Facebook tanpa mempedulikan statusnya sebagai timbalan menteri, hari ini beberapa pemimpin parti terbabit tampil mengkritik Hanipa Maidin.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man misalnya berpendapat timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu perlu meluangkan lebih banyak masa di parlimen berbanding di luar.
Kata anggota parlimen (MP) Kubang Krian dengan cara itu Hanipa dapat mengetahui apa yang dibahaskan di Dewan Rakyat sekali gus memahami konteks sesuatu isu yang diulas wakil rakyat PAS.
"Saya tengok komentar Hanipa tu macam dia tak tahu apa yang dibahas sepanjang sesi terbabit," katanya kepada media di lobi parlimen hari ini.
Terdahulu Hanipa hari ini berpendapat ada sesetengah MP kelihatan "aktif dan segar" apabila berbahas mengenai isu aurat namun keadaan itu tidak kelihatan apabila menyentuh masalah rasuah dan salah guna kuasa.
"Semalam di parlimen, ada beberapa MP membangkitkan isu penutupan aurat ketika Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia (Anthony Loke) sedang menggulung. Saya ada di dewan pada masa itu.
"Pengalaman saya di dalam dewan dan melihat setengah anggota parlimen (beragama) Islam berbahas, saya lihat apabila isu seperti itu timbul, relatifnya para wakil rakyat parti itu agak aktif dan segar untuk berbahas dibandingkan isu-isu lain seperti isu rasuah, isu salah guna kuasa, isu pembaziran dan isu-isu lain yang jejaskan kehidupan rakyat," katanya tanpa menyebut parti yang dimaksudkan.
Semua sedia berbahas
Isu berkenaan dibangkitkan Anggota Parlimen PAS Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff ketika perbahasan titah diraja pada 25 Julai lalu.
Ketika itu, Siti Zailah antara lain berkata ada wanita beragama Islam yang bekerja sebagai pramugari terpaksa membuka tudung demi mencari rezeki.
Untuk rekod Hanipa yang juga MP Sepang memang aktif memberikan pandangannya - biasanya bersifat bersahaja - di Facebook sejak lama dulu.
Sementara itu MP Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary berkata ada kalangan wakil rakyat Pakatan Harapan memiliki pendidikan tinggi, malah sehingga ke peringkat doktor falsafah.
Justeru katanya mereka wajar memberikan pemahaman mengenai Islam kepada kerajaan.
"Jangan jadi (macam) pasu bunga dalam PH (HARAPAN), tetapi mereka mesti jelaskan," katanya.
MP Tumpat Che Abdullah Mat Nawi pula berkata seseorang menteri atau timbalan menteri perlu berada di parlimen untuk menjawab sesuatu isu.
"Menteri (atau timbalan menteri) tak perlu jawab di Facebook secara sinis (sebaliknya) di parlimen dan kita bersedia membahaskannya di parlimen.
"Ia bukan sekadar isu aurat, malah apa sahaja tajuk, MP PAS sedia berbahas," katanya.
No comments:
Post a Comment