PRK SERI SETIA | Umno membuat ketetapan untuk meningkatkan kerjasama dengan PAS di PRK Seri Setia ke satu tahap lebih tinggi daripada yang diberikan PAS pada PRK Sungai Kandis yang lalu, kata Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.
"Umno membuat ketetapan untuk meningkatkan kerjasama dengan PAS di PRK Seri Setia ke satu tahap lebih tinggi daripada apa yang PAS beri di Sungai Kandis.
"Pemimpin kanan Umno di benarkan turut mengiringi calon PAS hari ini di pusat penamaan calon sebagai tanda sokongan moral," kata Annuar dalam suatu hantaran di media sosial hari ini.
Menurut anggota parlimen Ketereh itu, sekiranya diminta, Umno membenarkan pemimpin dan penceramahnya untuk berkongsi pentas serta berkempen untuk calon PAS, malahan jentera cawangan Umno juga perlu memberi kerjasama kepada PAS.
"Sekiranya diminta, pemimpin dan penceramah Umno di benarkan berkongsi pentas dan berkempen untuk calon PAS.
Kerjasama jentera
"Jentera Umno di cawangan di benarkan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jentera PAS kiranya di minta," katanya.
Annuar dalam kenyataannya juga mendakwa Pakatan Harapan (HARAPAN) mengizinkan kerosakan kepada keharmonian hidup dan nilai keagamaan dengan menyokong idelogi songsang.
"Sokongan HARAPAN kepada ideologi songsang dan berhaluan kiri termasuk sosialis, atheis,komunis,LGBT, liberalisme dan seumpamanya bercanggah dengan rukunegara dan boleh merosakkan fabrik politik, sosio budaya dan kerukunan negara," katanya.
Penamaan calon PRK Seri Setia pagi tadi menyaksikan kehadiran Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam, Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad dan Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali dengan nama Papagomo.
PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon HARAPAN, bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Halimey Abu Bakar, 46, bertembung dengan calon PAS, yang juga bekas anggota Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, 58.
No comments:
Post a Comment