Friday, August 3, 2018

Umno Johor sahkan Bukit Aman sita 26 van ‘Skuad Sayang’

 
Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad tidak tahu jika rampasan itu ada kaitan dengan isu 1MDB atau sumbangan RM2.6 bilion yang diterima Najib Razak. 


Hasni Mohammad berharap rampasan 26 van itu bukan berunsurkan balas dendam dan tidak tahu bila polis akan memulangkan kenderaan itu. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Umno Johor mengesahkan polis menyita 26 van “Skuad Sayang” milik parti itu untuk membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, rampasan itu dilakukan Bukit Aman semalam.

“Polis dari Bukit Aman yang uruskan kerana ia berkaitan Akta AMLA. Sebanyak 26 van diserahkan kepada 26 Parlimen di Johor dan ia dipertanggungjawabkan kepada Wanita Umno.

“Satu Parlimen akan dapat sebuah van, maka 26 van yang disita. Kita sudah serahkan semuanya hari ini, 18 van diserahkan semalam dan bakinya hari ini.

“Van ini merupakan pengangkutan untuk kita bertemu dengan akar umbi, masyarakat yang khususnya melibatkan wanita,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu jika rampasan itu ada kaitan dengan isu 1MDB atau sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tidak pasti adakah ia ada kaitan dengan kes 1MDB atau RM2.6 bilion.

“…tidak ada masalah untuk serahkan, kalau itu perkara yang termaktub di bawah undang-undang, maka kita ikut, kita tidak persoalkan tanggungjawab polis.”

Adun Benut itu berharap rampasan itu bukan berunsurkan balas dendam dan tindakan itu tidak akan melunturkan semangat Wanita Umno untuk meneruskan usaha membantu masyarakat setempat.

“Saya terpaksa terangkan kepda ketua wanita Umno negeri dan bahagian untuk memberi kerjasama sepenuhnya. Wanita nampak gayanya lebih bersemangat.

“Mereka kata kita akan guna kenderaan sendiri…cumanya saya berharap tindakan menyita ini bukan atas sebab lain, bukan bertujuan membalas dendam.”

Katanya, polis memberi jamin akan memastikan van itu dalam keadaan baik, tetapi tidak memaklumkan bila van itu akan dipulangkan kepada Umno Johor.

No comments: