Monday, August 20, 2018

SST: Menteri minta peniaga yakini kerajaan

 
   

Kementerian kewangan meminta semua pihak khususnya peniaga agar tidak lari daripada membayar cukai.

Sebaliknya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata mereka harus memberi kepercayaan kepada kerajaan dalam melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berkuatkuasa 1 September depan.

“Biar mereka pohon (pengecualian cukai) dulu, kemudian baru kita akan siasat sama ada mereka perlu dikecualikan atau tidak.

“Tetapi, kalau kita siasat dan dapati bahawa mereka tidak dikecualikan maka mereka kena bayar cukai dan itu yang kita sebut pendekatan lembut di mana kita akan percaya kepada mereka.

“Percaya dulu, kira kemudian. Ini kerana kerajaan Malaysia dibina atas landasan kepercayaan, sama dengan kepercayaan rakyat kepada kerajaan hari ini. Tetapi, kita harap mereka tak cuba lari dari bayar cukai,” katanya.

Lim berkata demikian mengulas pertemuannya dengan pemain industri dan syarikat pada sesi taklimat SST bersama menteri kewangan dan ketua pengarah kastam, di Subang, Selangor, hari ini.

77, 451 perniagaan didaftar

Sementara itu dalam sidang media pada majlis yang sama, Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Eksesais Diraja Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata sehingga hari ini sejumlah 77, 451 perniagaan telah didaftarkan di bawah SST melalui pemindahan automatik daripada sistem GST.

“Mereka telah dimaklumkan melalui e-mail dan daripada jumlah itu, sebanyak 32,577 merupakan pendaftar bagi cukai jualan dan 44,874 adalah pendaftar bagi cukai perkhidmatan,” katanya.

Tambah Subromaniam, kastam juga turut menyasarkan RM22 bilion bagi kutipan SST
“Harapan kita lebih kurang begitu (sasar RM21 bilion), tapi kami jangkakan lebih RM22 bilion termasuk daripada empat sektor baru,” katanya.

Kerajaan BN sebelum ini memperkenalkan GST pada kadar 6 peratus mulai 1 April 2015 dan kira-kira RM44 bilion dikutip daripada sistem percukaian itu.

Bagaimanapun, pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji akan menghapuskan GST dan Kementerian Kewangan menurunkan kadar GST kepada sifar peratus mulai 1 Jun lalu.

Namun bermula September ini, SST akan dilaksanakan bagi menggantikan GST yang dijangka menyumbang RM4 bilion kepada pendapatan negara.

Lim sebelum ini dilaporkan berkata, Akta SST dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan sebelum diluluskan.


No comments: