Sunday, August 26, 2018

Selangor rampas Piala Sultan Selangor 2018

SINAR HARIAN

Selangor rampas Piala Sultan Selangor 2018
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan meyampaikan piala kepada pasukan Pilihan Selangor selepas menewaskan pasukan pilihan Singapura dalam perlawanan Piala Sultan Selangor 2018 di Stadium Shah Alam. - Foto: Bernama
 
 
SHAH ALAM - Pasukan Pilihan Selangor merampas kembali Piala Sultan Selangor selepas menewaskan skuad Pilihan Singapura 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada edisi ke-17 kejohanan bola sepak tahunan itu di Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.

Juara terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.

Pada penentuan sepakan penalti, pemain sayap, Muhd Faris Ramli menyempurnakan sepakan terakhir bagi mematahkan hasrat Singapura untuk merakam kemenangan hatrik pada dua edisi berturut-turut sebelum ini.

Dalam aksi itu, pasukan pelawat memulakan asakan awal menguji kesebelasan utama jurulatih Datuk K. Rajagobal menerusi jaringan Shuhei Hoshino pada minit kelapan.

Selangor tidak menunggu lama apabila dihadiahkan sepakan percuma yang disudahi tandukan kemas Rufino Segovia Del Burgo bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari  gol tambahan namun tiada sebarang jaringan berjaya dicipta sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, jurulatih Rajagobal membuat beberapa pertukaran bagi memantapkan jentera serangan manakala percaturan sama dilakukan  jurulatih pasukan lawan, Marko Kraljevic dengan menukar beberapa pemain.

Namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan sehingga wisel tamat separuh masa kedua dibunyikan dengan keputusan 1-1 sekali gus membawa kepada penentuan sepakan penalti.

Selaku juara, Pilihan Selangor membawa pulang Piala Sultan Selangor yang disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Untuk rekod Pilihan Selangor merakam kemenangan kali kelapan apabila pernah muncul juara pada edisi 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013 dan 2014.

Turut menyaksikan perlawanan berkenaan tersebut ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama

No comments: