Thursday, August 23, 2018

PRK Seri Setia: Calon PH yakin dapat sokongan penyokong “senyap’ PAS

THE MALAYSIAN TIMES
 


PETALING JAYA: Halimey Abu Bakar, calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia, yakin beliau mendapat sokongan daripada sesetengah penyokong “senyap” PAS di kawasan itu.

“Ini akan memberikan kelebihan kepada saya dalam persaingan itu. Memandangkan saya orang tempatan dan ibu bapa saya juga orang sini (Seri Setia), banyak orang UMNO dan PAS mengenali saya dan ibu bapa saya,” kata beliau.

“Justeru, sokongan PAS akan ada tetapi “silent”. Saya jangka kalau dapat 30-40 peratus sokongan PAS pada hari pengundian pun cukup baik,” kata beliau kepada Bernama selepas menganjurkan jamuan Hari Raya Aidiladha bagi media di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang di sini semalam.

Halimey dari Parti Keadilan Rakyat sedar bahawa PAS telah menjalin kerjasama dengan penyokong UMNO dalam usaha untuk menembusi kawasan di Seri Setia dan oleh itu beliau tidak mengambil mudah lawannya dari PAS, Dr Halimah Ali.

Pilihan raya kecil Seri Setia pada 8 Sept diadakan berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus. Pilihan raya kecil Seri Setia diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Balakong.

Selangor menyaksikan tiga pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan pilihan raya kecil pertama di Sungai Kandis diadakan pada 4 Ogos.—Bernama

No comments: