Siti Nursyazwani, Astro Awani
Menurut mereka, industri ikan patin sangkar perlu diberi perhatian kerana ia mampu memberikan pulangan lumayan kepada rakyat jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh, Khaidir Ahmad, bagaimanapun mendakwa, industri ikan ini semakin gelap dek kerana air sungai yang tercemar.
“Produktiviti ikan patin ini merosot kerana kemerosotan kualiti air sungai yang tercemar akibat aktiviti pembalakan yang berleluasa.
“Bukan itu sahaja, aktiviti pam pasir yang berleluasa juga boleh menyebabkan sangkar rosak, seterusnya menyebabkan ikan patin mati pada kadar yang banyak,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Khaidir berkata, industri ini berupaya mewujudkan rangkaian ekonomi pelbagai, sekali gus meningkatkan lagi taraf pendapatan pengusaha setempat sekiranya kerajaan negeri bersungguh-sungguh membantu lebih 300 ahli persatuan.
Dia turut menyarankan supaya tindakan menyeluruh untuk jangka panjang dan jangka pendek diambil bagi menyelamatkan industri ini.
Bukan hanya Khaidir yang merasakan bebanan itu, malah pengusaha lain seperti Wan Mohd Sofian Wan Husain turut mendakwa merasakan tekanan serupa.
Katanya, sekiranya tiada penguatkuasaan dan kerjasama diberikan pihak tertentu, pasti Temerloh yang sinonim dengan nama bandar ikan patin akan terus dipandang sepi.
“Saya akui perkara ini kerana saya dapati Temerloh ini ada potensi untuk maju kalau kita usahakan ikan patin dengan cara yang sesuai.
“Tetapi sejak setahun dua ini, masalah sebegini timbul," katanya merujuk kepada isu pencemaran air sungai akibat aktiviti pembalakan yang tidak dikawal.
Tambahnya, keadaan lebih disulitkan apabila bandar Temerloh tidak terletak di laluan utama sejak adanya Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Jika ikan patin bukan tumpuan utama di sini dan tidak dapat menarik orang ramai untuk berkunjung, maka sah lah Temerloh ini bandar mati,” ujarnya.
Justeru, pihak berkuasa digeasa untuk memastikan industri ikan patin menyinar kembali di bandar ini.
Astro AWANI sedang cuba mendapatkan reaksi pihak berkuasa berkenaan dakwaan ini.
No comments:
Post a Comment