Oleh Hafiz | Foto: Hasful Zainuddin
Jalan Alor yang menjadi tumpuan pelancong asing sebagai salah satu pusat makanan pilihan mungkin tidak popular jika bukan kerana di Bukit Bintang. Pembangunan pesat gedung-gedung fesyen,
teknologi maklumat dan hiburan menjadikan segitiga emas ini destinasi wajib dikunjungi di Kuala Lumpur.
Selain titik pertemuan pelbagai lapisan bangsa dan latar belakang, Bukit Bintang yang berkeluasan hampir 1,600 kilometer persegi ini memiliki 72,987 pengundi berdasarkan statistik terkini Suruhanjaya Pilihan Raya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, ‘oldtimer’DAP Sdr Fong Kui Lun terus diberi mandat oleh pengundi di sini untuk penggal kelima berturut-turut menewaskan dua pencabarnya daripada Barisan Nasional dan Penang Front Party (PFP).
Kerusi berkenaan dimenangi dengan majoriti selesa sebanyak 37,260 berbanding 19,399 undi pada PRU13.
Bagaimana pun, segala pencapaian cemerlang yang dituai pada setiap pilihan raya bukanlah sekadar menyertai proses demokrasi itu kata Fong ketika ditemui Roketkini baru-baru ini.
Apa yang terpenting tegasnya ialah sikap dan pendirian yang tidak lari dari prinsip perjuangan parti iaitu berjuang untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum walaupun terus diasak dengan pelbagai tuduhan jahat perkauman oleh pihak lawan.
“Kita sentiasa ada keyakinan dan berpegang pada prinsip perjuangan kita. Ini yang kita jaga.”
Selain faktor tsunami rakyat, sosok dengan perwatakan budiman ini memiliki pesonanya tersendiri meningkatkan momentum sokongan padu rakyat kepada kubu tradisi DAP itu lebih-lebih lagi dengan pengalaman separuh abad penglibatannya bersama parti sejak 1968.
“Banyak perkara yang berlaku pada negara, kepada parti dan pemimpin-pemimpin dahulu.
“Saya (telah) melalui dan mengalami banyak pengalaman dari hari pertama sampailah sekarang. Ini bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.
Justeru, demi memastikan DAP terus menjadi pilihan dan relevan dengan realiti politik semasa, segala pengalaman yang dilalui parti kata Fong perlu menjadi rujukan oleh pimpinan-pimpinan muda dan ahli-ahli baru terutamanya melibatkan sejarah perjuangan parti.
“Saya harap, pemimpin baru akan banyak belajar, (boleh) rujuk ahli-ahli parlimen sebelum ini seperti Lim Kit Siang sendiri yang banyak pengalaman sebagai ahli dewan rakyat.
“Begitu juga dengan ahli-ahli dan pemimpin baru DAP, kita harus belajar tentang sejarah dan perjuangan parti untuk negara ini,” katanya yang juga Bendahari DAP Kebangsaan.
Mengulas kejayaan bersejarah Pakatan Harapan menumpaskan Barisan Nasional pada PRU lalu, Fong berkata kerajaan haruslah tidak alpa dan memberi tumpuan kepada dasar dan pelaksanaan.
“Ini kali pertama (pakatan pembangkang) bentuk kerajaan. Memang tak sama, perasaannya memang lain.
“Jadi apa yang mesti diberi keutamaan ialah kerajaan Pakatan Harapan perlu tunjukkan contoh yang baik dengan menunaikan janji-janji pilihan raya.
“Kalau kita mungkir janji, kita akan hadapi masalah dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment