Sunday, August 26, 2018

Menteri arah siasat 3 anggota ATM masih jadi pengiring Hishammuddin

 
Ketiga-tiga anggota itu didakwa masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.
 
 
 
Mohamad berkata beliau mengarahkan siasatan dibuat dan tindakan diambil jika terdapat pelanggaran terhadap amalan dan peraturan sedia ada.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengarahkan kementeriannya melakukan siasatan segera berhubung dakwaan 3 anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa masih berkhidmat kepada bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata tindakan akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan sedia ada.

“Saya mengambil maklum laporan sebuah portal berhubung 3 anggota khas ATM yang didakwa sehingga kini masih menjadi pengiring rapat kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Saya mengarahkan siasatan dibuat dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap amalan dan peraturan sedia ada,” katanya menerusi laman Twitter rasminya semalam.
Mohamad mengulas laporan sebuah portal berita mengenai 2 anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang komando masih menjadi pengiring Hishammuddin, yang tidak lagi memegang portfolio itu berikutan kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14, Mei lepas.

Menurut laporan portal berita itu, 2 pegawai Paskal itu masih dalam perkhidmatan, yang masing-masing akan tamat pada 2020 dan 2021, manakala komando itu didakwa antara individu yang kelihatan dalam gambar yang dimuat naik Hishammuddin di laman Twitter beliau baru-baru ini.

Ketiga-tiga anggota itu juga didakwa masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.

Sementara itu, Hishammuddin menerusi catatan di laman Twitternya berkata ketiga-tiga anggota berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan beliau dan keluarga setelah lama berkhidmat dengannya.

“Mereka cukup rapat dengan saya sekeluarga dan telah berkhidmat sekian lama. Mereka dengan saya hanya sementara,” katanya.

Hishammuddin berkata beliau juga telah menawarkan pekerjaan kepada anggota ATM terbabit tetapi mereka harus berhenti daripada ATM dengan serta-merta sekiranya mereka tawaran itu.

“Saya telah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima, mereka harus berhenti dari ATM dengan serta-merta,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

No comments: