KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang memperkenalkan slogan 1Malaysia menyebabkan Melayu berada dalam keadaan ketara cemasnya.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh, sebaik slogan itu diperkenalkan kira-kira 15 tahun lalu, ia seperti memberi lesen besar kepada bukan Bumiputera untuk meletakkan hak dan kedudukan mereka sama rata dengan Bumiputera.
“Jawapan saya ini berikutan pertanyaan sebuah media mengenai kedudukan kaum Melayu ketika ini, dan dukacita dinyatakan bahawa kaum Melayu berada dalam keadaan cemas – ketara cemasnya sejak sekitar 15 tahun lalu.
“Slogan 1Malaysia kerajaan BN seolah satu lesen besar kepada bukan Bumiputra dan sejak itu juga banyak suara sumbang dikeluarkan menyebabkan Bumiputra menjadi cemas,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak lebih 60,000 tahun lalu orang Melayu berada di bumi ini sehinggalah bersetuju melalui Kontrak Sosial untuk tinggal bersama kaum bukan Bumiputra dan kejutan Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan manifestasi cemasnya kaum Bumiputra.
Keadaan cemas itu, katanya, kian meningkat sehingga ke mutakhir ini, padahal sebelum ini perkara yang termaktub dalam Wasiat Raja-Raja Melayu, Kontrak Sosial dan Perlembagaan Negara tidak ditimbulkan atau diganggu gugat oleh bukan Melayu dan pribumi.
Beliau menjelaskan, perkara tunggak yang termaktub dalam Perlembagaan seperti Institusi Raja-Raja Melayu, Islam agama Persekutuan dan hak istimewa kaum Melayu tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Namun, kata Sijaruddin, apa yang Perkasa perhatikan sejak 15 tahun kebelakangan ini terdapat pihak yang mencabar perkara itu.
“Ada pihak memperolok dan menghina Institusi Raja, agama Islam, bendera dan lagu Negara Ku. Ada juga yang mempersoalkan hak istimewa Melayu, bahasa Melayu hingga ada yang betul biadab mengatakan Melayu kaum pendatang.
“Semua ini hanya menghidupkan api kebencian dan kemarahan orang Bumiputera kepada kaum bukan Melayu. Apa yang mengecewakan, tiadanya tindakan tegas diambil ke atas puak yang buta sejarah dan Perlembagaan ini.
“Oleh itu, sebelum api dalam sekam ini menjadi besar, Perkasa mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis dan badan berkuasa yang lain bertindak tegas dan keras ke atas unsur yang membangkitkan perkara sensitif ini. Kita tidak mahu Peristiwa 13 Mei berulang lagi,” tegasnya.
Menurut Sirajuddin, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan dengan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), perasaan cemas itu kian meningkat dan perubahan serta kajian semula beberapa institusi kerajaan, sama ada benar atau khabar angin yang tular di media sosial nampak lebih cenderung kepada tidak menguntungkan kaum Bumiputera.
Jelas beliau, pemansuhan Biro Tata Negara (BTN), Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), kajian semula Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan khabar mengenai rombakan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) adalah beberapa contoh.
“Keadaan dicemaskan lagi dengan pengisian sebilangan jawatan Kabinet dan jawatan penting kerajaan seperti Menteri Ekonomi, Ketua Hakim, Peguam Negara oleh kaum bukan Bumiputera.
“Ketua Hindraf juga dilantik ke Kabinet. Tambah mencemaskan lagi tularnya berita menteri DAP mengatakan “Melayu kaum pendatang”, hak milik tanah 999 tahun untuk kaum bukan Bumiputera dan beberapa lagi.
“Ditambah pula dengan tuntutan puak bukan Bumiputera yang tidak boleh diterima oleh kaum Bumiputera seperti desakan pengiktirafan UEC, pemberian lebih 4,000 kewarganegaraan kepada kaum India dan kehadiran sami hindu di Parlimen baru-baru ini juga turut menaikkan kemarahan kaum Bumiputera,” ujarnya.
Katanya lagi, di atas perasaan cemas yang menggugat perpaduan nasional itu, Perkasa mendesak sangat-sangat agar kerajaan PH membuat dasar dan program khas untuk kaum Bumiputera supaya tidak merasa milik mereka ke atas bumi ini tidak tercabar. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment