SELANGORKINI
MEKAH : Kerajaan Arab Saudi bakal memperkenalkan bilik
kapsul unik di bandar Mina yang direka khas untuk memberi ruang jemaah
haji berehat dan menghilangkan penat ketika lebih dua juta umat Islam
berkumpul menunaikan rukun Islam kelima itu.
Pod tidur percuma tersebut adalah sebahagian daripada langkah baharu
yang dilancarkan Arab Saudi tahun ini dalam usaha untuk memodenkan
infrastruktur.
Ketua Persatuan Hadiah Amal Haji dan Mutamer, Mansour al-Amer
berkata, pihaknya bakal menawarkan antara 18 hingga 24 kapsul untuk
jemaah haji berehat dan tidur secara percuma sepanjang musim haji.
Setiap pod gentian kaca yang berukuran hampir tiga meter panjang dan
lebih satu meter tinggi itu mempunyai tilam, cadar bersih, penyaman
udara dan cermin yang besar dan terang.
Bilik kecil bergerak itu disusun secara mendatar atau menegak untuk menjimatkan ruang.
“Kami sentiasa memikirkan tentang kebajikan jemaah haji dan bagaimana
untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa semasa menyempurnakan
ibadat mereka,” kata Mansour.
Bilik tidur istimewa itu menjadi alternatif terbaik kepada jemaah
haji yang memerlukan ruang melepaskan lelah seketika semasa menunaikan
haji.
Setiap pengguna akan diberikan akses selama tiga jam untuk berehat
dan tidur di pod berkenaan yang diimport dari Jepun dengan kos sekitar
AS$1,114 (RM4,570) setiap satu.
Selepas pengguna bangun untuk menunaikan solat dan ibadat lain,
pekerja akan membersihkan pod berkenaan sebelum membukanya kepada jemaah
haji lain.
“Idea ini sudah wujud di seluruh dunia. Kami percaya ini amat sesuai
untuk tempat-tempat yang sesak selain diperkenalkan di Mekah,” jelasnya.
Selain pod tidur bergerak itu, kerajaan Arab Saudi juga
memperkenalkan aplikasi untuk terjemahan dalam talian dan penjagaan
perubatan kecemasan bagi kemudahan jemaah.SUMBER: AFP
No comments:
Post a Comment