Friday, August 3, 2018

JAKIM akan perkenal modul baru kursus kahwin

 
   

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mewujudkan modul baharu untuk kursus perkahwinan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata modul baharu tersebut akan lebih komprehensif berbanding dengan modul sedia ada.

"Modul baharu ini termasuklah mengenai tanggungjawab suami-isteri, komunikasi yang lebih baik di antara kedua pihak supaya dapat mewujudkan persefahaman yang lebih baik, bukan sekadar mengenai apa itu perkahwinan, rukun perkahwinan dan perkara sah perkahwinan.

"Modul baharu untuk kursus perkahwinan ini kita rasa perlu dilaksanakan kerana modul perkahwinan yang sedia ada, orang hadiri cuma untuk dapatkan sijil yang melayakkan untuk berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Wanita Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Fuziah berkata pihaknya telah mengadakan persidangan dengan ketua-ketua hakim syarie dan semua anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas agama Islam mengenai perkara tersebut yang kini masih dalam perbincangan.

Beliau berkata perkahwinan ibarat perjanjian iaitu kehidupan yang panjang yang memerlukan persefahaman, oleh itu latihan yang sewajarnya diperlukan supaya perkahwinan dalam tempoh 6 bulan pertama, iaitu tempoh yang paling sukar untuk memahami satu sama lain dapat ditempuhi dengan baik oleh suami isteri.

Beliau berkata dengan adanya modul baharu itu, mereka yang berkahwin akan didedahkan dengan kemahiran untuk melayari bahtera dengan tekanan keluarga, persekitaran, pekerjaan dan sebagainya.

"Terlalu banyak perubahan dalam kehidupan selepas berkahwin yang akan dihadapi, oleh itu dengan adanya modul baharu ini, sekurang-kurangnya boleh menyiapkan pasangan untuk menghadapi tekanan sebegini,” katanya.- Bernama


No comments: