Friday, August 24, 2018

Isma anjur Konvensyen Wanita Islam Nasional


Isma anjur Konvensyen Wanita Islam Nasional
Norsaleha Mohd Salleh
 
 
PUTRAJAYA - Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) akan menganjurkan Konvensyen Wanita Islam Nasional (Konwanis) di Putrajaya Convention Centre (PICC) pada 1 September ini.

Ketua Wanita Isma, Norsaleha Mohd Salleh berkata, konvensyen ini bakal mengupas tajuk-tajuk yang memberi definisi kebahagiaan lebih luas mengikut acuan Islam.

“ALLAH SWT mengurniakan manusia keluasan dan kebebasan hidup. Manusia boleh membuat pilihan menggunakan akal dan petunjuk wahyu untuk mencapai kebahagiaan.

“Ini selari dengan tujuan kejadian manusia untuk menjadi hamba yang beribadat dan khalifah yang memakmurkan dunia. Dua peranan utama ini perlu dilaksanakan mengikut fitrah kejadian manusia itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kebahagiaan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu kebahagiaan berbentuk fizikal dan sementara serta kebahagiaan hakiki.

“Kebahagiaan bersifat sementara ini jauh daripada manhaj ALLAH SWT. Ramai manusia menyangka duit yang banyak, harta yang bertimbun itu adalah kebahagiaan, sedangkan itu hanyalah  fatamorgana yang mengelabui mata.

“Manakala bahagia hakiki apabila manusia berupaya untuk hidup di bawah lembayung Islam dengan membawa risalah perjuangan ditinggalkan Rasulullah SAW. Kebahagian hakiki merangkumi bahagia di dunia dan akhirat,” katanya.

Katanya, kebahagiaan hakiki boleh dicapai dengan iman dan amal, solat, tilawah al-Quran, zikir, berbuat baik kepada orang lain, menjauhi kejahatan, sentiasa mengingati akhirat, bergaul dengan orang baik dan mempunyai pasangan hidup yang baik dan soleh.

No comments: