Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan umat Islam yang melaksanakan ibadat korban supaya berlaku amanah dan jujur dalam melakukan ibadat itu bertepatan dengan syariat Islam sebenar.
Menulis di Facebook, katanya, sikap umat zaman ini yang tidak jujur dalam kehidupan seharian mereka sehingga terbawa ke dalam perkara ibadat.
“Antara dosa yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban. Ini berlaku apabila ada pihak yang mengambil daging korban atau bahagian dari binatang korban tanpa terlebih dahulu meminta izin dari empunya korban.
“Biasanya hal ini dilakukan oleh penyembelih, pelapah dan mereka yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan.
“Tanpa terlebih dahulu meminta izin dari individu yang melakukan ibadah korban itu, mereka mengambil bahagian korban yang mereka sukai. Ini terutama bahagian-bahagian yang menarik untuk mereka,” katanya.
Mohd Asri berkata, umat kini dilihat turut melanggar beberapa syariat lain apabila turut memberikan daging korban kepada tukang sembelihan binatang korban.
“Larangan memberikan daging atau selainnya sebagai upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih.
“Mereka wajib tahu bahawa tidak boleh untuk mereka mengambil daging korban atas dasar upah kerja mereka. Mereka hanya boleh menerima upah berbentuk wang atau apa sahaja selain bahagian korban yang mereka terlibat,” katanya.
Namun kata mufti Perlis itu, pemberian kepada penyembelih dan pelapah dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah.
“Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya.
“Hendaklah diingatkan bahawa mereka seperti mana orang lain, hanya boleh perolehinya jika diberikan oleh tuan empunya korban dengan hati yang redha, bukan dengan mereka pandai-pandai mengambilnya,” katanya
No comments:
Post a Comment