Monday, August 20, 2018

DAP sekarang sama dengan MCA dulu?

MALAYSIA GAZETTE
Wee Ka Siong
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong melihat keadaan DAP yang sudah menjadi parti pemerintah tidak lain seperti MCA sebelum ini yang memerintah di bawah Barisan Nasional (BN).

PETALING JAYA – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong melihat keadaan DAP yang sudah menjadi parti pemerintah tidak lain seperti MCA sebelum ini yang memerintah di bawah Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, memandangkan Perdana Menteri mempunyai kata putus dalam banyak perkara, keadaan itu telah mengekang DAP.

“Walaupun saya tidak menyatakan DAP sebagai ‘MCA 2.0’ , tetapi DAP kini telah berdiam diri tentang perbincangan dalam Kabinet.

“Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan rancangan kereta nasional ketiga, DAP harus menerimanya sebagai keputusan kerajaan,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Beliau berkata demikian dalam forum 100 Hari Kerajaan Baharu yang turut disertai Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; serta Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Menurut Ka Siong, beliau bimbang fenomena “Mahathirisme” yang diketengahkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang akan berlaku.

Katanya, tindakan menteri-menteri Pakatan Harapan yang “menghafal teks” untuk Dr. Mahathir dalam soal kereta nasional ketiga adalah tidak tepat.

Mengulas tentang isu itu, Chin Tong berkata, beberapa isu kontroversi yang dibangkitkan Dr. Mahathir termasuk kereta nasional ketiga dan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera masih dalam peringkat perbincangan.

Chin Tong turut berkata, pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya menyaksikan kuasa Perdana Menteri dikurangkan.

Beliau berkata, parti-parti pembangkang sekarang juga mempunyai lebih banyak ruang untuk bersuara berbanding zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak menekan parti pembangkang di Parlimen.

Katanya, keadaan itu jelas kelihatan apabila dibandingkan dengan zaman Najib yang menyaksikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilarang untuk dibincangkan dalam Parlimen. – MalaysiaGazette


No comments: