ISTERI kepada penyanyi popular era 1970an, Dahlan Zainudin iaitu Effa Rizan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave, yang membantu dia dan suami memiliki rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman, Kepong.
Setelah lebih 20 tahun menyewa di Bukit Indah, Ampang, pasangan suami isteri ini telah berpindah ke kediaman baharu mereka dua minggu lepas.
Menurut Effa lagi, bantuan yang diberikan itu amat melegakan dirinya dan keluarga kerana perpindahan tersebut dapat mengurangkan banyak kos perbelanjaan mereka yang membayar kadar sewa yang cukup tinggi untuk kediaman sebelum ini.
Selepas keadaan kesihatan suaminya yang tidak begitu baik, Effa mengakui pendapatan mereka kini tidak menentu dan perlu berjimat cermat dalam berbelanja.
"Apa yang paling penting sekarang adalah untuk rawatan suami dan penjimatan wang yang dilakukan boleh digunakan untuk menanggung kos perubatannya,” katanya di Mstar Online.
Berkongsi tentang kondisi terkini suaminya, kata Effa, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu kini kurang sihat kerana masalah lemah jantung yang dihadapinya.
Dahlan sebelum ini dilaporkan diserang penyakit angin ahmar dan kini masih melakukan rawatan fisioterapi di Pusat Rehab di Cheras.
No comments:
Post a Comment