THE MALAYSIAN TIMES
SHAH ALAM: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyelar tindakan pembangkang yang cuba mengaitkan dirinya dengan rakaman video seorang lelaki menari di khalayak ramai.
Mohd Zawawi berkata, penyebaran video itu merupakan tindakan terdesak bertujuan menjejaskan keperibadiannya yang jelas lebih diterima masyarakat dan pengundi Sungai Kandis berbanding calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.
“Dalam video itu jelas bukan saya yang menari, jadi mengapa kaitkan ia dengan saya, saya harap pengundi di kawasan ini tidak terpengaruh dengan cara kempen seperti ini dan bersama-sama mengamalkan politik matang,” katanya dalam sidang akhbar hariannya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Lokman Noor sebelum ini yang mendakwa video tersebut adalah berkaitan perilaku seseorang menyerupai Mohd Zawawi sedang menari, yang rakaman itu dipercayai diambil sewaktu PRK Ijok pada 2007.
Sementara itu, Mohd Zawawi berkata beliau akan memperjuangkan isu perumahan di kawasan berkenaan sekiranya mendapat mandat sebagai wakil rakyat bagi kawasan berkenaan pada Sabtu ini.
Katanya beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri dan syarikat pemaju milik kerajaan negeri untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Sungai Kandis.
“Warga Sungai Kandis mestilah diberi keutamaan untuk membeli rumah di projek perumahan mampu milik ini dan harganya mestilah di bawah RM350,000.
“Saya juga akan merayu dan menyeru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membina rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) di kawasan ini. Saya sudah mengenal pasti satu kawasan lapang di Johan Setia di sini yang dimiliki oleh kerajaan negeri yang dirasakan sesuai untuk dibina rumah mampu milik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya ura-ura beliau akan menggantikan Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang kini sedang dalam cuti sakit sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Zawawi menyerahkannya kepada pucuk pimpinan.
“Fokus utama saya sekarang adalah untuk menang di PRK DUN Sungai Kandis pada Sabtu ini,” katanya.– Bernama
No comments:
Post a Comment