Friday, August 3, 2018

Awasi kebebasan melampau, kata PAS

 
   
WAWANCARA | PAS berpendapat ruang kebebasan bersuara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini lebih baik berbanding semasa BN menjadi kerajaan.

Katanya sebelum HARAPAN mengambil alih kerajaan orang ramai pernah berada dalam keadaan bimbang untuk mengkritik kerana berdepan dengan tindak balas yang menyusahkan.

Namun, timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun begitu tetap ada 'kelompongan' hingga menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan terutamanya melibatkan isu Islam dan Melayu.

"Saya tengok ada pihak ambil kesempatan sebab kerajaan HARAPAN lebih terbuka.
 
"Ruang lebih terbuka berbanding zaman BN sebab pada masa itu sekatan terlalu kuat.

"Sesiapa yang kritik kerajaan saja, ada pihak kena tukar (dipindahkan tempat kerja), rakyat nak kritik kerajaan pun tak berani," katanya semasa ditemui Malaysiakini.

Walaupun begitu Tuan Ibrahim berpendapat keadaan semasa itu perlu ditangani dengan segera bagi mengelak sebarang masalah lebih besar atau rumit.

"Ini (kerajaan) kena pantau cepat. Kita nak membina sesuatu itu susah, tetapi nak meruntuhkan senang. Kita tak nak ia menyebabkan sentimen perkauman," katanya.

Mahu bebas yang terkawal

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada agama Islam dan orang Melayu terancam selepas HARAPAN menjadi kerajaan sejak 9 Mei lalu.

Menurut anggota parlimen Kubang Kerian itu lagi, kerajaan perlu melakukan pemantauan terutamanya pada media sosial kerana PAS bimbang tindakan mengkritik tanpa kawalan akan menjadi satu budaya kelak.

"Saya tengok keberanian pihak mengkritik Islam makin jelas dalam media sosial yang sepatutnya berada di bawah tanggungjawab kerajaan.

"Kita harap ia tidak dibiarkan berterusan hingga akhirnya jadi budaya dan sesiapa nak mengkritik, menghentam, semua boleh," katanya.

Menjelaskan pandangannya itu Tuan Ibrahim berkata PAS tidak ada masalah dengan kebebasan yang diberi namun menegaskan ia mesti dalam keadaan terkawal.




Ketika kekangan terhadap kebebasan bersuara itu dianggap tidak wajar, kebebasan mutlak juga, katanya, tidak boleh diterima.

Menurut Tuan Ibrahim PAS menyedari tidak mudah untuk melakukan pemantauan itu namun pada media sosial ia perlu dilakukan dengan kaedah yang betul.

"Suasana ini mungkin ambil masa tetapi ia tetap perlu supaya tak jadi budaya," ujarnya yang turut mengaitkan isu itu dengan cadangan menutup sekolah tahfiz.

Orang ramai bimbang

Idea itu dinyatakan bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin pada Julai lalu menyarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof agar menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada "amalan agama yang jumud".

Menjelaskan lagi mengenai saranan tersebut, Zainuddin yang pernah menjadi ketua pengarang kumpulan Utusan memberitahu beliau menekankan penutupan sekolah tahfiz persendirian yang didirikan tanpa izin.

Saranan Zainuddin itu bagaimanapun menerima kecaman pelbagai pihak termasuk PAS yang berikrar akan mempertahankan institusi tersebut.

Malah PAS menganggap kenyataan bekas menteri tersebut sebagai tidak berakhlak.




Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang mendakwa Islam dan Melayu terancam selepas pilihan raya umum ke-14, Tuan Ibrahim berkata beliau bersependapat dengan gabungan berkenaan.

Katanya tindakan diambil UMMAH berlaku ekoran kerajaan HARAPAN membuat lantikan individu bukan Islam dalam bidang perundangan.

"Kebimbangan orang ramai apabila ada pihak desak tutup sekolah tahfiz (tapi) disko tak disuruh tutup pula.

"Dan timbul isu lantikan kehakiman.

"PAS bukan tak terima (pelantikan berkenaan) tetapi adakah tak ada seorang pun orang Islam (untuk dilantik)? Jadi sebab itu orang Islam bimbang. Bukan soal layak, tak layak.

"Tapi takkan tak ada orang Islam yang layak?" katanya.

Tuan Ibrahim berkata PAS menerima pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara.

Namun katanya sikap yang ditunjukkan kerajaan itu mendorong wujud rasa bimbang di kalangan orang ramai.

Sebelum isu itu reda, katanya, timbul pula desakan supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.

"Jadi, ini yang (membuat) rakyat berhimpun untuk nyatakan kebimbangan," jelas Tuan Ibrahim lagi.

No comments: