PASIR PUTIH: Program Selangor Prihatin anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menelan kos sebanyak RM10 juta berjaya mengubah kehidupan 28 keluarga asnaf di Desa Alam Shah, Kampung Gong Jenerah.
Ekesekutif Selangor Prihatin, Muhammad Zulfadlil Azhim Ayub berkata, peserta program dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan Nestle Malaysia itu diberikan sebuah rumah dan seekar tanah untuk diusahakan dengan tanaman cili kulai.
“Mereka dibantu dalam pelbagai aspek untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga mereka seperti latihan, menyediakan pasaran dan lain-lain bagi membolehkan mereka menyara keluarga masing-masing selepas tamat program ini.
“Setakat ini pada 2016 kumpulan ini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM86,062.50, pada 2017 pula sebanyak RM132,518.75 dan saya jangka pendapatan bagi 2018 meningkat kerana walaupun tuaian pertama belum habis dikutip tetapi hingga Ogos sudah lebih RM30,000 berbanding tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada program lawatan ke Projek Penempatan Berkelompok Serta Agro-Ekonomi LZS Bersama Rakan Media di Kampung Gong Jenerah di sini, hari ini.
Muhammad Zulfadlil Azhim berkata, para peserta akan menuai hasil tanaman sebanyak tiga setiap pusingan tanaman yang memakan masa selama setahun.
Katanya, selain tanaman cili, peserta juga menjalankan tanaman selingan yang menjana pendapatan tambahan kira-kira RM26,800 setahun.
Bagaimanapun katanya, peserta hanya diberikan gaji bulanan sebanyak RM1,200 sebulan dan selebihnya dijadikan modal pusingan untuk musim akan datang dan simpanan tetap peserta.
“Kami hanya beri RM1,200 sahaja dan selebihnya sebanyak 30 peratus untuk modal pusingan untuk musim akan datang dan 70 peratus lagi disimpan dalam simpanan tetap peserta,” katanya.
Beliau berkata, simpanan tetap itu akan dikembalikan kepada peserta apabila berakhir tempoh lima tahun di mana berakhirnya program itu.
Terdahulu, seramai 149 orang daripada 28 keluarga asnaf ditempatkan di Desa Alam Shah bagi menjalani program Projek Penempatan Berkelompok Serta Agro-Ekonomi LZS yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Cili Kulai yang dihasilkan dijual kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebelum dijual kepada Nestle Malaysia mengikut harga dalam perjanjian.
No comments:
Post a Comment