PAS mengecam kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa parti itu menarik diri daripada pencalonan bagi DUN Rantau untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia merupakan tuduhan fitnah dan berniat jahat Pakatan Harapan (PH) untuk menutup kelemahan mereka sendiri.
“PAS dan Gagasan Sejahtera sememangnya tidak meletakkan calon untuk DUN Rantau kerana faktor setempat seperti kebolehan untuk menang dan komposisi pengundi yang mana menjadikan ia bukan kerusi strategik untuk ditandingi.
“Kami berpandangan bahawa kenyataan jahat dan fitnah daripada Presiden PKR itu hanya untuk mengelirukan rakyat dengan niat untuk memburukkan PAS dengan menggunakan budaya politik yang amat tidak bertamadun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada dakwaan Wan Azizah dalam ceramahnya di Indera Mahkota, pada Khamis.
Tuan Ibrahim berkata, PKR seharusnya menjawab dakwaan kerjasama dengan BN di sebalik layanan istimewa kepada pimpinan parti itu dan keluarganya untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta akses mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang halangan.
“Presiden PKR juga harus menjawab apakah beliau setuju dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad (PH) mengenai Anwar ketika temuramah bersama The Guardian baru-baru ini.
“PAS sehingga hari ini mempercayai Anwar difitnah sehingga dipenjarakan,” katanya.
Beliau turut mengajukan persoalan berhubung kawasan-kawasan di mana calon PKR ditolak pencalonannya.
“Apakah PKR akan menyuruh penyokongnya memberikan kemenangan kepada BN atau PAS?” soalnya.
No comments:
Post a Comment