Thursday, May 3, 2018

[VIDEO] TELITI TINDAKAN VETERAN UMNO SERANG PARTI – KU NAN

Wartawan : SYAKIRIN DAUD / Videographer : ZUL HAFIZ BAHRIN
 
LIHAT VIDEO DI SINI

Penilaian akan dibuat ke atas tindakan beberapa orang tokoh veteran UMNO yang dilihat cenderung memberikan sokongan kepada pembangkang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebagai sebuah parti yang adil, UMNO perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum menjatuhkan hukuman terhadap ahli parti tertua kaum Melayu itu.

“Kita parti yang adil, kita akan menilai dan mengkaji kes terlebih dahulu dan jika perlu diambil tindakan kita akan ambil tindakan kerana kita perlu ada disiplin dalam parti.

“Kita juga ada perlembagaan, peraturan, kita ada etika jadi kita perlu ikut garis yang telah ditetapkan ini.

“Sebenarnya kita semua bersahabat, tetapi jika dia melanggar etika parti dan dia masih bergelar ahli maka kita boleh ambil tindakan,” katanya mengulas mengenai tindakan individu veteran UMNO seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Rais Yatim dan Tun Daim Zainuddin yang sering menyerang tindakan UMNO dan menyokong pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Bantuan Ihya’ Ramadhan dan Watikah Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah 2018 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

Seterusnya, beliau berkata selain penilaian yang mendalam, terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan oleh individu terbabit berkaitan tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan.

Ini kerana calon BN bagi Parlimen Putrajaya itu mendakwa tokoh veteran yang sudah dikenalpasti ini gemar berdolak-dalik dalam setiap kenyataan mereka.

“Kita menilai apa yang tokoh ini perkatakan. Mereka berdolak dalik, kadangkala mereka mengaku apa yang mereka ucapkan dan pada waktu yang lain mereka menafikan pula kenyataan mereka sebelum ini.

“Kita tengok kes. Kadang mereka cakap mereka ke sana (pihak pembangkang) sebagai kawan dan bukan atas tiket ahli politik, itu masalahnya,” katanya.



No comments: