KUALA LUMPUR: Sejumlah 586 pusat pengundian awal di seluruh negara
dibuka pada 8 pagi ini bagi membolehkan 278,590 anggota keselamatan
termasuk pasangan melaksanakan pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
Pasukan keselamatan terlibat ialah anggota Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA)
serta pasangan mereka.
Antara tempat mengundi ialah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera.
Sebanyak dua pusat mengundi dibuka di Bukit Aman iaitu di Dewan
Badminton Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) dan Mes
Pegawai Kanan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan timbalannya, Tan
Sri Noor Rashid Ibrahim antara pengundi awal yang dijangka akan membuang
undi kira-kira jam 9.30 pagi nanti di Dewan Badminton PERKEP.
Seramai 111,702 warga PDRM di seluruh negara terbabit dalam proses pengundian awal yang dijalankan sempena PRU-14.
Pusat mengundi akan ditutup secara secara berperingkat antara 5
petang dan 7 malam, malah ada beberapa pusat mengundi ditutup lebih awal
iaitu antara 1 tengah hari dan 3 petang.
Proses pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa yang dikendalikan oleh 6,376 petugas pilihan raya.
Di Perak, seramai
1,681 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta
pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi
awal PRU14 di Parlimen Bagan Datuk hari ini.
Mereka terdiri daripada 1,541 anggota tentera dan 140 anggota polis
serta pasangan masing-masing yang mengundi di tiga pusat mengundi
melibatkan dua DUN.
Tiga pusat mengundi berkenaan adalah di Kem Tentera Hutan Melintang
dan Bilik Maklumat Balai Polis Hutan Melintang bagi Dun Hutan Melintang
serta Bilik Gerakan Balai Polis Bagan Datuk bagi Dun Rungkup yang dibuka
seawal jam 8 pagi.
Manakala di Pahang,
seramai 6,486 pengundi berdaftar dalam kalangan anggota dan pegawai
polis membuang undi awal di 37 pusat pengundian undi di seluruh negeri
bermula pagi ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Rahman, berkata jumlah itu termasuk 398 pesara polis yang turut mengundi awal.
Pengarah SPR negeri, Datuk Zamree Hamli, berkata seramai 21,358
anggota keselamatan membabitkan 68 saluran menunaikan tanggungjawab
masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14) di 48 pusat pengundian di seluruh Pahang, hari ini.
Kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi hari ini
sebaliknya disimpan di tempat selamat iaitu di lokap balai polis. Kertas
undi hanya akan dikira pada hari pengundian 9 Mei, bermula 4 petang.
Sementara itu, di Melaka, Seramai 10,116 pengundi berdaftar terdiri daripada anggota tentera dan pasangan di Kem
Terendak, Sungai Udang, di sini, membuang undi awal di tiga pusat membuang undi di dalam kem, pagi ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Markas 3
Divisyen, Kementerian Pertahanan, tiga Pusat Pengundian dibuka dalam Kem
Terendak iaitu di SK Terendak 1, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Terendak dan SK Terendak 2.
Secara keseluruhannya, selain di Kem Terendak, anggota Tentera Darat
Malaysia (TDM) di negeri ini membuang undi turut awal masing-masing di
Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kem Sungai Udang; Rejimen 514
(AW) di Bukit Beruang, dan 966 Depot Pengkalan Peluru (DPP) di Kem
Masjid Tanah, Alor Gajah.
Pemilih berdaftar terdiri daripada 446 pegawai dan anggota polis di
Kuala Selangor dan Tanjong Karang melaksanakan tanggungjawab pengundian
awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bermula jam 8 pagi ini di Kuala Selangor.
Ia membabitkan tiga lokasi, iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala
Selangor, Rumah Kelab IPD Kuala Selangor di sini, dan Balai Polis
Tanjong Karang.
Hadir sama di IPD itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga calon BN
bagi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Ketua
Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Asri A Wahab.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri
Noh Omar yang juga calon BN bagi Parlimen Tanjong Karang pula hadir
beramah mesra di Balai Polis Tanjong Karang.
Di Johor,
sebanyak 11 buah pusat mengundi dibuka termasuk di Ibu pejabat Polis
Daerah (IPD) Batu Pahat yang memiliki seramai 539 pengundi dan Kem 10
Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Majidee membabitkan 758 pengundi
awal.
Seramai
1,540 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) mengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi
empat kawasan Parlimen dalam daerah ini.
Mereka terdiri daripada 725 anggota polis dan 816 anggota tentera yang bertugas di daerah ini.
Antara kawasan Parlimen yang terlibat adalah Parlimen Parit Sulong,
Parlimen Ayer Hitam, Parlimen Sri Gading dan Parlimen Batu Pahat.
Daerah tersebut turut memiliki sembilan kerusi bagi Dewan Undangan
Negeri (DUN) termasuk DUN Semerah, Sri Medan, Yong Peng, Semarang, Parit
Yaani, Parit Raja, Penggaram, Senggarang dan Rengit.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa antara yang melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
Di Kelantan, Ketua
Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, saluran tempat mengundi
itu dibuka bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang.
“Secara keseluruhannya di Kelantan seramai 5,011 anggota polis dan
pasangan akan mengundi awal di 36 pusat mengundi pada Pilihan Raya Kali
ini.
“Setakat ini, sambutan yang diterima amat mengagumkan dan sehingga
pukul 10.15 pagi, seramai 2,562 pegawai dan anggota telah melaksanakan
tanggungjawab mengundi,” katanya ketika ditemui selepas mengundi awal di
sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, pihaknya telah menempatkan pegawai
dan anggota secukupnya seperti yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) untuk kawalan keselamatan.
“Selain itu, kita juga turut meletakkan pegawai dan anggota dalam
keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
No comments:
Post a Comment