Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mewakili Pakatan Harapan (PH) memohon maaf kepada warga emas yang ditolak dari pentas MCA oleh penyokong PH di Yong Peng semalam dan juga kepada ahli keluarga mangsa.

Calon PH bagi Parlimen Ayer Hitam itu sangat kesal dengan tindakan penyokongnya dan tidak mahu ia berulang.

“Saya rasa insiden ini tidak patut berlaku dan saya gesa semua penyokong tidak melakukan perkara seperti ini lagi.

“Biar kita berlawan hujah melalui idea, bukan seperti insiden semalam,” katanya.

Warga emas yang ditolak dari atas pentas ceramah MCA di Toman Kota, Yong Peng semalam dipercayai cuba menghalang suspek memacakkan bendera PKR di kawasan pentas itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Abdul Wahib Musa berkata suspek lelaki berusia 58 tahun itu ditahan dan direman polis selama 7 hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan parah.

Polis berkata mangsa, Tan Hong Hi @ Ting Hong Hi, dilaporkan mengalami keretakan tulang rusuk kiri dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

Liew juga menasihatkan supaya penyokongnya tidak bertindak di luar batasan walaupun berdepan provokasi pihak lawan.