MARANG: "Menang atau kalah, kena terima hakikat, jangan menyusahkan
rakyat dan negara," itu pesan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui
selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini, hari ini.
Presiden PAS itu berkata, setiap calon dan parti yang bertanding perlu akur kepada keputusan dan kehendak pengundi.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, selamat dan tenteram. Kita
sudah mengarahkan pengikut (PAS) sentiasa menjaga adab, mengamalkan
budaya politik matang dan sejahtera.
"Kita kena terima hakikat, biar rakyat buat keputusan dan jangan menyusahkan rakyat dan negara," katanya dipetik BH Online.
Abdul Hadi tiba di pusat pengundian SK Rusila tepat jam 8 pagi dan selesai mengundi 10 minit kemudian.
Katanya, beliau turut berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian
dan memuji petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjalankan tugas
dengan baik.
Turut mengundi di sekolah berkenaan, anak kepada Abdul Hadi yang juga
calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang tiba
kira-kira jam 8.15 pagi.
DUN Ru Rendang yang sebelum ini disandang Abdul Hadi, menyaksikan
saingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, Prof Dr
Ahmad Samsuri Mohktar (PAS) dan Dr Zarawi Sulong (PKR). DUN itu
mempunyai seramai 25,999 pengundi.
Sementara itu, Ketua UMNO Marang yang juga calon DUN Pengkalan
Berangan, A Latiff Awang antara terawal mengundi jam 8.30 pagi di SK
Padang Mengkuang.
Calon wanita BN bagi DUN Bukit Payung, Toh Puan Zaitun Mat Amin pula
tiba di pusat pengundian sama kira-kira 9.30 pagi dengan ditemani anak
lelakinya, Muhammad Hishamudin Muda.
No comments:
Post a Comment