Saturday, May 5, 2018

‘Rafizi, saya akan jumpa saudara di mahkamah’ – KJ

Manzaidi Mohd Amin
Khairy akan berjumpa dengan Rafizi di mahkamah untuk menghentikan budaya fitnah yang cukup digemari Naib Presiden PKR itu.
Khairy akan berjumpa dengan Rafizi di mahkamah untuk menghentikan budaya fitnah yang cukup digemari Naib Presiden PKR itu.
 

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau nekad untuk berjumpa dengan bekas Ahli Parlimen Pandan itu di mahkamah bagi menghentikan budaya fitnah yang sangat digemari Rafizi.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan selanjutnya terhadap Rafizi selepas tempoh telah tamat untuk beliau menarik balik tuduhan jahatnya terhadap saya.

“Dalam fitnahnya itu, beliau menuduh saya bersengkokol dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang calon dari parti PKR bagi DUN Rantau daripada memasuki dewan penamaan calon pada 28 April lalu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

Pada 28 April lalu, SPR mengumumkan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hassan menang tanpa bertanding apabila lawannya, calon PKR, Dr. S Streram gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau.

Menurut Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, tuduhan bahawa beliau dan Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mad, bersengkokol dengan SPR adalah satu fitnah yang besar.

Katanya, jangan sekali-kali mengaitkan beliau dan Tok Mad dengan pegawai SPR, hanya semata-mata kerana keahlian mereka (pegawai SPR) itu dalam UMNO.

“Sebenarnya, banyak tuduhan palsu dikeluarkan termasuklah tuduhan kononnya Streram minta tag (pas SPR) tapi tidak dapat, sedangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan beliau tidak pergi pun untuk minta tag.

“Saya tidak tahu apa sebab isu ini dibesar-besarkan, dan akhirnya saya buat rumusan bahawa ini sebenarnya pencetus kepada gelombang fitnah yang akan berlaku dalam tempoh masa beberapa hari yang akan datang,” katanya.

Contohnya, kata Khairy, pada PRU13 tahun 2013, tersebar fitnah yang besar mengatakan 40,000 pengundi warga Bangladesh sedang diterbangkan ke Kuala Lumpur untuk mengundi BN, (tetapi) sampai hari ini tuduhan itu tidak dibuktikan langsung.

Pembangkang, katanya, telah membuat tuduhan itu untuk mengelirukan rakyat dan menimbulkan kemarahan pengundi.

Bagaimanapun, beliau tidak hairan kerana fitnah yang berlaku di DUN Rantau pada 28 April lalu adalah sawo (propaganda) pertama pembangkang untuk menimbulkan kemarahan rakyat.

“Saudara Rafizi, saya akan jumpa saudara di mahkamah, saya nak hentikan budaya fitnah yang saudara sangat-sangat gemari itu,” tegas Khairy. – MalaysiaGazette


No comments: