Khairunnisa Kasnoon, Astro Awani
KUALA LUMPUR: Perjanjian perniagaan dengan China akan dikaji dan disemak semula termasuk semua perjanjian-perjanjian lain yang telah dibuat kerajaan terdahulu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan pihaknya layak untuk mengkaji kembali perjanjian tersebut dan jika perlu melakukan rundingan semula berhubung perjanjian berkenaan.
"Apa yang merisikokan kami adalah pinjaman yang dibuat kerajaan. RM55 billion hanya untuk Perkhidmatan Rel Pantai Timur (ECRL) dan juga pinjaman-pinjaman lain yang mana akan menjadi bebanan besar kepada negara.
"Sebuah negara yang bertanggungjawab harus cuba untuk mengurangkan pinjaman, atau tidak ia (negara) akan menjadi kambing hitam," ujarnya ketika menjawab soalan dalam sidang media yang diadakan di ibu negara hari ini.
BACA: 'Tiada kekeliruan, Pakatan Harapan miliki majoriti mudah untuk bentuk kerajaan' - Tun M
Selain itu, kata Dr Mahathir, PH menolak berita tidak benar dan Akta Antiberita Tidak Benar akan disemak semula bagi mengkaji keperluan undang-undang berkenaan.
"Kami tidak mahu berita tidak benar. Tetapi sudah pasti kami akan menyemak semula akta berkenaan sama ada ia melawan berita tidak benar atau untuk kepentingan politik.
"Buat masa ini, apa yang kami lihat, undang-undang berkenaan bertujuan untuk menutup mulut pihak lawan," katanya.
Awal April lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan dengan pindaan selepas dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat.
BACA: RUU Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan, hukuman penjara dikurangkan
RUU tersebut yang mengandungi 14 seksyen adalah bertujuan untuk memperkatakan tentang berita tidak benar dan perkara berkaitan.
Ia termaktub di bawah Seksyen 4 Akta 803 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
No comments:
Post a Comment