Friday, May 4, 2018

Perbualan intim: Tiga mendakwa ahli Amanah minta penjelasan Mat Sabu

Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tiga individu yang mengaku sebagai ahli Amanah dari cawangan Kuala Kedah hari ini mendedahkan beberapa gambar perbualan intim melalui Whatsapp dan rakaman audio panggilan telefon yang didakwa membabitkan Presiden Amanah Mohamad Sabu dengan seorang wanita tidak dikenali.
 
Jurucakap mereka, Rizal Bakar berkata, Mohamad Sabu atau Mat Sabu diberi 36 jam untuk memberi jawapan menjelaskan perkara itu.
 
"Kita mohon Tuan Haji Mohamad Sabu, dalam masa 36 jam tampil dengan jawapan," katanya.
 
Dalam rakaman audio itu, kedengaran seorang wanita bernama 'Zaza' sedang berbual dengan seorang lelaki yang didakwa suara Mat Sabu. 
 
Rizal berkata, bukti itu ditemui dalam satu sampul bersaiz A3 terletak di wiper keretanya kira-kira seminggu lalu.
 
"Oleh itu saya mewakili rakan-rakan menyeru kepada Tuan Haji Mohamad Sabu untuk tampil ke hadapan dan memberi penjelasan tentang apa yang saya telah kemukakan hari ini."
 
"Mahu kepastian perkara ini benar atau tidak?"
 
"Andainya tiada jawapan ataupun tidak, insya-Allah dalam masa 36 jam kita akan berjumpa lagi di sini," tambahnya.
 
Sementara itu, FMT melaporkan Mat Sabu ketika mengulas perkara itu berkata, beliau tidak terperanjat dengan dakwaan berkenaan.
 
“Ini kerap berlaku pada musim pilihan raya. Mereka akan mengeluarkan sesuatu yang memburukkan saya,” tambahnya.
 
Katanya, beliau akan merujukkan perkara itu dengan peguamnya untuk tindakan selanjut.
 
Beliau juga menyatakan tidak mengenali tiga individu yang menganjurkan sidang akhbar berkenaan.
 
 

No comments: