Tuesday, May 1, 2018

Peluang Hadi menang saman Sarawak Report besar

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mempunyai peluang besar untuk menang kes saman fitnah terhadap laporan Sarawak Report yang sesi pendengaran dilakukan di Mahkamah Tinggi London.
 
Peguam Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ia berdasarkan keputusan mahkamah itu semalam, yang menolak kira-kira 50 muka surat daripada 55 muka surat penyataan pembelaan editor penerbitan itu, Clare Rewcastle-Brown.
 
Sehubungan itu, beliau yakin 70 peratus saman fitnah terhadap penerbitan terbabit akan berpihak kepada Abdul Hadi.
 
"Kini hanya tinggal 30 peratus yang akan diputuskan di mahkamah apabila perbicaraan seterusnya dijadualkan pada April tahun depan.
 
"Peluang Tuan Guru Presiden PAS untuk menang saman ini, sekali gus membersihkan namanya sangat besar," katanya ketika sidang media khas di Masjid Rusila di sini, hari ini, lapor BH Online.
 
Semalam, Mahkamah Tinggi di London memerintahkan defendan membayar STG41,400 (RM227,700) kepada Abdul Hadi sebagai kos bayaran guaman yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari.
 
Mahkamah juga menetapkan perbicaraan selama 12 hari mulai April 2019.
 
Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 lalu berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno.
 
Takiyuddin berkata, sesi pendengaran kes itu semalam berlangsung empat jam sebelum mahkamah dengan rasminya menolak sebahagian besar penyataan pembelaan yang dibuat Rewcastle-Brown.
 
"Rewcastle-Brown juga secara rasminya meninggalkan permohonannya untuk meminda pembelaan 'kebenaran' beliau bagi menggunakan rakaman audio satu kenyataan yang didakwa dibuat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz.
 
"Mahkamah juga menolak cubaan memperlewatkan dengan memohon perintah mahkamah supaya diadakan perbicaraan berasingan terhadap persoalan sama ada pembaca Sarawak Report memahami artikel berkaitan adalah merujuk kepada Abdul Hadi.
 
"Pasukan peguam kita menolak cadangan defendan itu yang dilihat hanyalah sebagai cubaan untuk lari daripada membawa isu sebenar kes dalam perbicaraan," katanya.
 
Sementara itu, Abdul Hadi dalam kenyataannya yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.
 
"Ia menjadi kemenangan moral kepada pihaknya dan juga ahli PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.
 
 

No comments: