Saturday, May 5, 2018

PABM dedah atlet gagal doping

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pemangku Setiausaha Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Abu Hanapah Ismail mengesahkan atlet angkat berat negara, Muhamad Fazrul Azrie Mohdad didapati positif ujian doping.
 
Hanapah berkata keputusan tersebut diperoleh daripada Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) semalam bagaimanapun Naib Presiden PABM itu tidak dapat memaklumkan bentuk hukuman yang bakal dikenakan kepada Fazrul.
 
“Ujian doping sampel B telah dilakukan pada 24 hingga 27 April yang lalu dan saya ingin memaklumkan bahawa atlet angkat berat negara, Fazrul disahkan positif doping apabila dia didapati menggunakan bahan larangan Stanozolol iaitu sejenis anabolic streoid sama seperti yang ditemui dalam sampel A.
 
“Saya telah memaklumkan mengenai perkara ini kepada atlet itu sendiri dan Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng.
 
“Ujian doping itu dilakukan sebelum atlet menyertai Sukan Komanwel 2018 bagaimanapun disebabkan masa yang diambil oleh makmal lama, elok sahaja keputusan keluar atlet pun sudah selesai bertanding.
 
“Sama ada Fazrul digantung empat tahun atau tidak, semua itu akan diputuskan selepas 12 Mei ini kerana pada hari tersebut PABM akan membuat pemilihan dan selepas membentuk jawatankuasa yang baru, mereka akan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Bukit Jalil hari ini.
 
Fazrul merupakan pemenang gangsa kategori 85kg dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia pada April lalu dan ketika ditanya sama ada pingat yang dimenangi olehnya ditarik balik atau tidak, Hanapah menyerahkan perkara itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
 
“Kami akan menghantar laporan kepada MOM dan terserah kepada MOM untuk membuat keputusan seterusnya dan pada masa sama kami meminta Persatuan Angkat Berat untuk memegang pingat tersebut buat sementara waktu,” katanya.
 
 

No comments: