Tuesday, May 8, 2018

Najib umum ‘khabar gembira buat rakyat’ malam ini

MALAYSIAKINI

   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan khabar gembira dan istimewa kepada rakyat dalam perutusan beliau malam ini.

Ini dinyatakan Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan ringkas petang ini.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, dijadual menyampaikan perutusan khas berkenaan pada 10 malam ini menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok.

Ia akan disiarkan secara langsung oleh TV3, TV2, Astro Awani, Bernama News Channel (BNC) dan HyppTV.

Perutusan khas Najib itu akan disiarkan pada masa yang sama dengan ucapan khas Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga dijadualkan pada jam 10 malam.

Ucapan bekas perdana menteri dari Langkawi itu akan disiarkan secara langsung di Facebook.

Rakyat Malaysia akan mengundi esok untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Seramai 14,449,200 orang daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 pemilih berdaftar yang diwartakan akan mengundi mulai 8 pagi hingga 5 petang esok.

Baki pemilih yang lain adalah pengundi tidak hadir luar negara, pengundi pos dan pengundi awal.

Seramai 2,333 calon bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini.

No comments: