Wednesday, May 9, 2018

KOR MING BIADAB




Tindakan Timbalan Setiausaha Agung DAP,  Nga Kor Ming mempersendakan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan membangkitkan isu kematiannya adalah tindakan kurang ajar, biadab, keterlaluan dan sangat menjijikkan yang jelas tidak mengikut tata susila masyarakat di negara ini.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Prof Dr Teo Kok Seong, berkata tindakan dan kata-kata Kor Ming itu tidak boleh diterima kerana ia perlakuan orang kurang waras kerana sanggup mempersendakan orang tua yang menjadi pemimpin sekutu DAP.

Katanya, tindakan Kor Ming itu adalah perwatakan sebenar peribadinya selaku pemimpin DAP yang sememang bukan hanya tidak boleh diterima ramai, tetapi juga orang Cina di negara ini.

“Nampaknya Kor Ming tidak berfikir panjang sebelum bercakap. Jelas sekali beliau tiada wibawa dan tidak bermoral langsung, bagaimana mahu dipilih menjadi pemimpin masyarakat.

“Tindakan itu bukan saja kasar dan tidak beradab, malah memalukan masyarakat. Ini bukan budaya orang Cina yang tidak menyokong kerajaan kerana jika tidak suka kerajaan sekalipun, mereka masih mengekalkan kesopanan dan kesusilaan.

“Apa yang Kor Ming buat ini tidak sepatutnya berlaku kerana ini bukan budaya dan tamadun Cina. Kita tidak mengiktiraf perbuatan jijik itu dengan mempersendakan orang tua dan menggunakan isu mati, lebih-lebih lagi kepada pemimpin sekutu sendiri,” katanya.

Sepanjang 11 hari kempen pilihan raya ini, beberapa klip video kontroversi tersebar dan terbaru ceramah Kor Ming yang memperkatakan mengenai kematian Dr Mahathir.

Klip video berdurasi 47 saat itu dimuat naik akaun Facebook sama iaitu Gerak Perak, menunjukkan Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berceramah dalam bahasa Cina dan mempunyai sari kata bahasa Melayu.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan kerana ada pertolongan Dr Mahathir yang mungkin sudah meninggal dunia pada PRU-15.

“Bila Mahathir mati… selepas Mahathir mendaftar di ‘alam roh’ nanti, PRU yang akan datang Mahathir dah tiada, siapa lagi ada cara… dah tak ada kan? Sebab itu kita kena merebut peluang ini… kalau kita terlepas peluang ini, mungkin kena tunggu 60 tahun lagi,” katanya yang dipetik sebuah portal berita.




Sementara itu, Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi berkata, DAP sememangnya parti yang bijak mengambil kesempatan dan mengubah ‘wajah’ untuk bersama rakan sekutunya walaupun prinsip perjuangan politik mereka berbeza demi meraih undi untuk berkuasa.

“Pola (corak) kerjasama menggunakan figura atau pemimpin Melayu ini sudah berulang kali digunakan sebagai taktik mendapatkan sokongan orang Melayu. Terbaru buat kali pertama mereka sanggup mengorbankan simbol parti untuk bertanding PRU-14.

“Ini taktik DAP untuk mendapatkan undi Melayu dan bukan satu mengejutkan jika isu kematian Dr Mahathir dimainkan kerana DAP masih perlu mengukuhkan sokongan pengundi tegar mereka yang kebanyakannya ultra-Cina,” katanya.




Bekas pemimpin DAP, Dr Tan Seng Giaw, pula berkata, Kor Ming sepatutnya mengelakkan kata-kata kasar ketika memberi ceramah kerana ia menggambarkan tamadun kaum.

“Kaum yang bertamadun tidak menggalakkan kata-kata kasar, malah Malaysia maju kerana kata-kata yang bertamadun. Jadi, ahli politik pembangkang dan kerajaan perlu memastikan perkataan baik digunakan,” katanya.




Bagi Panel Perunding MPN, Datuk Prof Madya Dr Ismail Sualman, keceluparan Kor Ming membuktikan DAP mempunyai agenda tersirat untuk memasuki ruang dalam komuniti Melayu bagi merebut kuasa.

“Tidak hairan apabila DAP memainkan sentimen kematian dan sebagainya kerana mereka terlalu terdesak memancing kepercayaan orang Melayu menggunakan Dr Mahathir. Saya percaya jika pembangkang diberikan mandat pada PRU-14 ini, Dr Mahathir akan ditendang dalam masa kurang dua tahun.

“Ketika itu bukan saja Dr Mahathir akan jatuh, tetapi keseluruhan orang Melayu akan merasai kesannya,” katanya.


No comments: