Friday, May 4, 2018

Ketua tentera laut kesal mesej undi diputar belit

 
Laksanan Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin kesal pesanan kepada anggota TLDM dianggap sebagai sokongan kepada pembangkang.


Gambar Youtube.


KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kesal pesanan kepada anggotanya untuk menjalankan tanggungjawab mereka mengundi dijadikan propaganda yang menggambarkan dirinya simpati kepada parti pembangkang.

“Saya kesal kenyataan saya #JomUndi di FB TLDM diputar belit oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka,” tulis Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Twitternya hari ini sambil disertakan hashtag Barisan Nasional (BN) “#HebatkanNegaraku”.

Terdahulu, sebuah blog pro-pembangkang memetik kenyataannya mengingatkan anggota TLDM yang mereka bebas mengundi, tetapi kenyataan Kamarulzaman itu diterjemahkan sebagai membantu kempen pilihan raya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Kamarulzaman berpesan kepada warga tentera laut agar mengundi secara bijaksana berdasarkan fakta, pemerhatian, pencapaian yang dikecapi dan pengalaman sendiri.

“Sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab undilah dengan penuh bijaksana.

Ketahuilah, undi kita adalah rahsia,” tulisnya di Facebook tentera laut semalam, sehari selepas Dr Mahathir menulis surat terbuka kepada panglima dan pegawai pemerintah tentera untuk menggalakkan anggota di bawah naungan mereka mengundi secara bebas, tanpa kekangan mana-mana pihak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengesahkan pilihan raya umum ke-14 akan menggunakan daftar pemilih suku ke-4 2017 yang mengandungi 14,940,624 pengundi.

Anggota tentera antara 300,255 pengundi awal yang akan membuang undi pada 5 Mei ini, 4 hari menjelang hari mengundi.

No comments: