Saturday, May 26, 2018

Kerajaan akan semak semula MoU kemasukan pekerja asing

Nizam Zain
M. Kulasegaran
Menteri Tenaga Manusia, YB Tuan M. Kulasegaran bercakap pada sidang media pada Program Lawatan YB Menteri Tenaga Manusia ke Mahkamah Perusahaan Malaysia di Wisma PERKESO, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan akan menyemak semula semua perjanjian persefahaman dengan negara luar mengenai kemasukan pekerja asing untuk memenuhi keperluan industri di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, langkah ini diambil bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing khususnya dari Bangladesh dan mengutamakan pekerja tempatan.

“Kita hanya membenarkan pengambilan pekerja asing mengikut keperluan sahaja.

“Keutamaan akan diberikan kepada pekerja tempatan, dahulukan rakyat kita sendiri, fikir keutamaan rakyat Malaysia dahulu, pekerja asing adalah keutamaan kedua.

“Semua perjanjian persefahaman dengan negara luar kita akan semak semula, seperti mana yang dikatakan oleh Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Beliau mengulas  perjanjian persefahaman dengan negara luar yang akan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Perjanjian persefahaman itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) yang diumumkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 25 Jun 2015.

Ditanya tentang kekosongan yang besar bakal ditinggalkan pekerja asing itu, Kulasegaran berkata, langkah pengurangan pekerja asing di bawah pentabiran Pakatan Harapan itu akan dilakukan secara berperingkat dan bukan mendadak.

“Kita bukan terus halau mereka keluar sekarang, ada tempoh masanya. Mereka yang berada di sini, kita tak suruh mereka beredar sekarang.

“Tapi kemasukan akan datang kita akan lakukan apa yang terdaya. Pengisian kekosongan ini kita akan ada latihan semula dan sebagainya dan keutamaan kita ialah pekerja tempatan
“Ini kerana terdapat dalam sektor tertentu di mana terlalu ramai pekerja asing, kita tak perlukan semua itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


No comments: