PUTRAJAYA: Pakatan Harapan meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah
ketika mengumumkan keputusan kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14) berkata, pakatan itu yang terdiri daripada Parti Pribumi
Bersatu Malaysia, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara meraih 113 kerusi
diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 79 kerusi.
Mohd Hashim berkata, PAS pula menang 18 kerusi Parlimen, diikuti Parti
Warisan Sabah (8); Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).
Pengumuman penuh bagi kerusi Parlimen itu adalah siri akhir sidang
media keputusan rasmi PRU-14 di Bilik Sidang Media, Menara SPR, Presint
2, pada kira-kira jam 4.40 pagi tadi.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada PRU14.
Terdahulu, Mohd Hashim dan timbalannya Tan Sri Othman Mahmood bersama
ahli SPR yang lain bergilir-gilir mengumumkan keputusan Dewan Undangan
Negeri (DUN) dan Parlimen bermula jam 12.43 tengah malam tadi.
Mengakhiri sidang media berkenaan, Mohd Hashim turut merakamkan ucapan
terima kasih kepada media dan jurugambar yang sabar menunggu keputusan
penuh PRU-14 sejak petang semalam.
Sejurus berakhir sidang media itu, Mohd Hashim sempat beramah mesra
dengan petugas media yang berkampung di Menara SPR sejak semalam.
No comments:
Post a Comment