Friday, May 4, 2018

Kawan jadi lawan, BN tak akan bertoleransi veteran UMNO sertai pembangkang

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) tidak akan bertoleransi dengan mana-mana veteran UMNO yang menyertai dan menyokong kempen pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata, bagaimanapun, BN akan mengkaji terlebih dahulu pembabitan veteran UMNO itu sebelum sebarang tindakan diambil termasuk kemungkinan dipecat daripada parti.

“Kadang-kadang mereka kata mereka pergi sebagai kawan dan bukan sebagai seorang ahli politik … jadi ini masalah yang kami hadapi kerana semua adalah sahabat.

Tapi jika mereka melanggar etika parti, melanggar perlembagaan kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah Tahun 1439H/2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Tengku Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu program ceramah di Ayer Keroh,
Melaka malam tadi mengenai kemungkinan besar Tan Sri Rafidah Aziz mengikut jejak langkah Tun Daim Zainuddin menyertai kempen pihak pembangkang dalam pilihan raya ini.

Menurut pengumuman itu dua tokoh UMNO itu akan menyertai program ceramah bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil Jumaat ini.

“Selaku Setiausaha Agung UMNO, saya tidak boleh bertoleransi dengan semua perkara merepek ni kerana perlu ada disiplin dalam parti. Kami ada perlembagaan kami, kami ada etika kami , maka patuhilah etika itu, “katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbangkan RM6.956 juta kepada 84 masjid, 108 surau Jumaat dan 486 surau yang berdaftar di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Putrajaya bagi tujuan pengimarahan Ramadan, Kebersihan dan Keceriaan sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

“Setiap masjid akan menerima sumbangan sebanyak RM12,000 manakala surau Jumaat dan surau pula menerima RM10,000,” katanya.

Selain itu, MAIWP turut melantik 880 Ketua Amil dan Amil bagi 73 pusat pungutan zakat di kawasan yang telah ditetapkan di Wilayah Persekutuan. Kadar zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan tahun ini adalah RM7 seorang.

No comments: