Saturday, May 26, 2018

Di MyPPP, Kayveas kembali ‘berkuasa’, Maglin, Loga Bala ‘dilucut keahlian’

THE MALAYSA TIMES
 


KUALA LUMPUR: Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas kembali menguasai parti yang dipimpinnya selama lebih daripada 20 tahun selepas beberapa rakan karibnya yang beliau jadikan sebagai pendokong dan harapan utama dalam parti itu cuba menjatuhkan beliau melalui satu konspirasi politik yang terancang sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Kayveas dikatakan pada asalnya mahu menyerahkan proses kepimpinan parti itu kepada rakan karibnya Datuk Seri Maglin D Cruz melalui proses peralihan kuasa yang tertib namun beliau sedar wujudnya satu konspirasi politik termasuk perbuatan ‘tikam dari belakang’ beliau membatalkan hasratnya untuk meletakkan jawatanya sebagai Presiden.

Sebelum ini Kayveas dipetik berkata beliau menarik balik surat peletakan jawatannya kerana ia tidak “dikemukakan kepada mesyuarat majlis tertinggi secara sah” mengikut perlembagaan parti.

“Lebih-lebih lagi, memandangkan terdapat percubaan untuk merampas parti itu melalui konspirasi antara naib presiden kanan dan setiausaha agung, dan percubaan kudeta, saya akan kekal dan meneruskan tugas dan kuasa sebagai presiden yang sah…,” katanya dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Majlis Tertinggi MyPPP. Surat terakhir itu bertarikh 27 April.

Berkongsi surat itu di media sosial, Kayveas berkata MyPPP perlu ‘dibersihkan’

Sebelum ini, dilaporkan bahawa MyPPP bertindak atas arahan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas Kayveas berkeras menuntut parti itu diberikan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

PRESIDEN YANG SAH

Malah Kayveas yang juga seorang pemimpin politik yang berani bersikap lantang sepanjang karier politiknya selama ini turut telah menerima ‘pengesahan rasmi’ bahawa pemecatan beliau dianggap tidak sah selepas menerima surat rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan bahawa beliau (Kayveas) masih presiden MyPPP yang sah.

KEPIMPINAN BARU

Dalam satu media khas selepas proses penamaan calon parti itu hari ini beliau berkata MyPPP kekal dengan pendirian sebagai parti bebas dan tidak merancang untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kayveas berkata parti itu tidak berhasrat untuk menyertai PH selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN).

“MyPPP tidak merancang untuk menyertai PH. Buat masa ini, kita fokus untuk memulihkan kepimpinan dalaman parti.

“Sejujurnya, saya kecewa dengan layanan yang diberikan oleh BN sepanjang bersama gabungan itu,” katanya.

Terdahulu, Kayveas mempengerusikan mesyuarat pertama parti bersama 22 anggota Majlis Tertinggi (MT) yang baharu bagi lantikan sesi 2018/2023 di Wisma MyPPP di Jalan Rotan, di sini.

Mengulas lantikan baharu MT, beliau menegaskan pelantikan itu dibuat atas kuasa presiden mengikut perlembagaan parti.

Lantikan baharu berkenaan turut menyaksikan seramai lima naib presiden dilantik iaitu Datuk Seri Gandi Muthusamy (naib presiden kanan), Datuk Zakaria Abdul Rahman, Datuk A.Chandrakumanan, Datuk Soma Sundram dan Datuk Gilbert Goh Kian Puay.

Sebelum ini, MyPPP dilanda konflik dalaman selepas parti itu memecat Kayveas daripada jawatan presiden dan surat pemecatannya turut dikeluarkan oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertarikh 24 April lepas.

DILUCUT KEAHLIAN

Dalam satu lagi langkah yang drastik, Kayveas yang turut dikenali sebagai ‘uncle bond’ turut mengumumkan 13 pemimpin tertinggi parti itu ‘hilang keahlian’ kerana telah terlibat dalam konspirasi menjatuhkanya mengikut perlembangaan parti. Mereka juga telah diarahkan pulangkan kad keahlian masing – masing.

Mereka yang dilucut keahlian termasuk, Naib Presiden Kanan Datuk Seri Maglin D Cruz, Setiausaha Agung Datuk Mohan Kandasamy, Naib Presiden dan juga bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan, Ketua Penerangan Datuk Simon Suresh dan Ketua Pemuda Sathiah Sudhakaran.

Kayveas turut mengumumkan perhimpunan agung tahun tahun 2018 parti itu akan diadakan pada 27 Mei ini.

No comments: