Saturday, May 5, 2018

Daim, Rafidah dan Rais digugurkan keanggotaan UMNO – Ku Nan

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Tiga veteran UMNO yang juga bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Dr Rais Yatim digugurkan keanggotaan parti, berkuat kuasa semalam, kerana menyokong parti pembangkang selain menghentam parti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata surat pengguguran keanggotaan tersebut telah dihantar kepada mereka sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan parti.

“Bila dia (Rafidah) di atas pentas pembangkang secara automatik saya minta surat dihantar kepada beliau dan digugurkan sebagai anggota UMNO termasuk Tun Daim dan Rais Yatim, ” katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.

Tengku Adnan yang mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 dicabar oleh Zainal Abidin Kidam (PAS) dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (PKR-PPBM).

“Saya memberitahu kepada mereka yang saya menyelidik dan tidak dengar ‘hearsay’ (khabar angin) tapi bila saya dah dapat gambar baru saya suruh ‘release’ (hantar surat) kepada mereka,” katanya lagi.

Tengku Adnan berkata sebagai veteran UMNO, mereka seharusnya tahu yang mereka boleh digugurkan daripada parti apabila bertindak sedemikian.

“Barangkali mereka nak kita gugurkan mereka sebagai anggota dan dia akan cakap macam-macam kepada UMNO, tapi kena ingat tanpa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mereka dan negara tidak akan jadi macam apa hari ini.. jangan jadi seperti kacang lupakan kulit,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata tindakan ketiga-tiga mereka yang menyokong pakatan pembangkang dan menghentam kerajaan adalah sesuatu yang menyedihkan.

“Ketika mereka bersama kami, kami semua menyokong mereka… bukan mereka dulu tidak ada masalah mereka semua dulu ada masalah.Oleh kerana konsep wala’ taat kepada kepimpinan, kita ikut arahan pemimpin serta kita tabayyun.

“….kerana dulu mereka bersama dengan kami dan kita perbetulkanlah sama-sama kerana kita dalam satu jemaah. Namun hari ini, mereka keluar daripada jemaah dan menuding jari. Ini adalah tidak patut dan tidak adil,” katanya.

No comments: