PRU14 l Keluar rumah seawal subuh dan balik lewat malam sehingga membawa ke awal pagi – inilah rutin harian kesemua calon yang bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sepanjang tempoh berkempen yang memasuki hari keenam hari ini.
Ketepikan soal penat lelah, mengantuk, apa yang penting pengundi di 22 kerusi Parlimen serta 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disantuni dan bagi muka-muka baharu pula perlu bekerja lebih untuk mempromosikan diri.
Menyertai jemaah bersolat di surau, bersarapan dan makan tengah hari bersama penduduk, menghadiri kenduri kahwin, menziarahi orang sakit dan meninggal dunia, ‘walkabout’ atau tinjauan mesra di klinik kesihatan dan tempat-tempat awam, ceramah kelompok dan umum serta melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) merupakan antara ‘rutin wajib’ calon Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen.
Bagi calon-calon lawan daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai DAP pula, isu GST, 1MDB masih menjadi mainan bibir selain membidas calon-calon PAS yang dilihat sebagai ‘pengacau’ dalam persaingan antara PH dan BN.
Ada juga calon yang mempunyai pendekatan tersendiri untuk memancing undi seperti calon Bebas di DUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azwan Ali atau lebih popular dengan gelaran ‘Diva AA’ yang memasak rendang dan kemudian diagihkan kepada orang ramai secara percuma.
Mengikut statistik Polis Selangor, sehingga semalam sebanyak 1,074 ceramah politik telah diadakan dan sebanyak 22 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kesalahan antaranya, memfitnah (dua kes), sembilan kes membakar dengan sengaja, tujuh kes di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan dua kes di bawah Akta Penerbangan Awam.
Cuma untuk ‘separuh masa pertama’ ini, mood berkempen di kawasan bandar dilihat masih ‘belum panas’ berbanding di kawasan luar bandar yang kelihatan lebih meriah dengan perang poster calon-calon, ditambah pula dengan pelbagai replika menarik seperti jet pejuang dan kereta kebal yang dibalut dengan poster parti-parti bertanding.
‘Orang kuat’ Selangor, Pengerusi BN negeri Tan Sri Noh Omar pula saban hari bertungkus lumus turun padang bukan sahaja di kawasannya di Parlimen Tanjong Karang malah di seluruh Selangor untuk memastikan kelancaran perjalanan kempen kesemua 78 calon BN termasuk 56 muka baharu.
Beliau yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut ‘menghadiahkan’ empat projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Yu, Ujong Permatang, Pasir Penambang dan Bestari Jaya kepada pengundi di kawasannya yang terdiri daripada 74.67 peratus kaum Melayu, 15.96 kaum Cina dan 8.94 peratus kaum India.
“Saya dah pusing satu Selangor, saya tengok jentera BN bertambah baik dan rakan-rakan kami yang dulu mungkin kecewa sedikit kerana tidak dapat jadi calon, alhamdulillah dah kembali bersama-sama kami.
“Bagi calon-calon khususnya muka baharu, mereka bekerja keras untuk menangkan diri mereka tetapi kami tidak nafikan dalam tempoh 11 hari (kempen) ini, sudah tentu mereka tidak dapat pergi semua kawasan, jadi sebab itu, kalau calon tak boleh pergi semua tempat nama calon itu mesti dibawa oleh jentera parti dan jentera memang ramai untuk bantu kami,” katanya kepada Bernama.
Mengenai strategi BN untuk tempoh kempen yang berbaki lima hari lagi sebelum hari pengundian pada 9 Mei nanti, Noh yang tetap berpegang kepada keyakinannya sebelum ini bahawa BN akan berjaya merampas semula Selangor, berkata parti itu akan lebih fokus kepada usaha menarik pengundi, mencari pengundi dan menjaga PDM di kawasan masing-masing.
Seorang lagi ‘orang penting’ Selangor iaitu Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga dilihat giat berkempen bukan sahaja di kawasan Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang dipertahankan beliau, malah turut membantu kempen calon Pakatan Harapan di kawasan-kawasan tumpuan seperti DUN Sungai Kandis, DUN Pelabuhan Klang dan DUN Kota Damansara.
Namun, ketiadaan kelibat Presiden AMANAH Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu di kawasan Parlimen yang ditandinginya, Kota Raja menjadi tanda tanya sehingga calon BN di kawasan itu, V. Gunalan mempersoalkan kemampuan dan keikhlasan calon kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang tersebut untuk berkhidmat kepada 149,021 pengundi di kawasan berkenaan.
Mengenai perjalanan tempoh kempen setakat ini, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Selangor Dr Xavier Jayakumar mengakui pakatan itu berdepan senario pilihan raya umum yang bukan sahaja sukar tetapi berlainan kerana berdepan pertandingan tiga penjuru atau lebih di kesemua 22 kawasan Parlimen dan hampir kesemua kawasan DUN.
Bagi pengarah pilihan raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir pula, tanda-tanda penerimaan masyarakat bukan Melayu terhadap parti itu sepanjang tempoh berkempen menepis tanggapan ramai bahawa PAS akan kehilangan pengundi bukan Melayu selepas memutuskan untuk ‘bercerai’ dengan Pakatan Rakyat dan bergerak secara sendiri.
Parti-parti bertanding dijangka akan memperhebatkan lagi kempen mereka pada pusingan akhir ini sebelum pengundian berlangsung Rabu depan.- Bernama
No comments:
Post a Comment