Friday, November 10, 2017
Wang Rakyat Selangor Terus Dibazir, Bina Parkir Perpustakaan RM43 Juta -CheguBard
Oleh : Badrul Hisham Shaharin (cheGuBard)
1. Sebelum Pilihanraya Negeri Sarawak, saya telah mendapat senarai dokumen projek-projek mega yang diluluskan di bawah pentadbiran MB Azmin Ali di Selangor. Ternyata banyak projek diluluskan dengan nilai yang tidak munahsabah dan cara yang amat meragukan. Namun pendedahan dokumen ini kami tangguh sehingga selesai PRN Sarawak.
2. Sebelum ini SAMM telah membuat beberapa pendedahan yang masih belum dijawab, antaranya ialah mengenai projek ubah suai ringan pintu gerbang dengan kos bernilai hampir RM10juta. Hanya jawapan selamat diberi kononnya projek ini adalah dari wang penderma yang didahulukan kosnya oleh kerajaan negeri, malah salah seorang Adun PKR selangor jawab kononnya ia kehendak istana.
3. MB Selangor juga gagal perjelaskan apa kepentingan wang rakyat sebanyak RM65.03j dibazirkan untuk ubah suai Masjid Shah Alam seperti kerja ganti kubah dan pejabat masjid. Apabila dibangkitkan oleh wartawan, Azmin marah dan suruh wartawan menjawab dengan tuhan, kerana ganti kubah mahal untuk bela syiar islam.
Sedangkan Pakatan Rakyat sendiri pernah mengkritik pembaziran Masjid Kristal di Terengganu, hari ini Azmin buat hal yang sama. Persoalannya, berapa banyak institusi islam, sekolah-sekolah agama, pusat ilmu dan kebajikan islam yang mampu terbela dengan jumlah wang RM69.04 juta, daripada hanya disalurkan ke sebuah masjid?
4. Kemudian SAMM dedahkan pula pemberian kompartmen balak kepada dua syarikat tanpa tender terbuka. Satu syarikat bertaraf “enterprise” (bukan sdn bhd) telah diberi tanpa tender terbuka hak membalak bernilai puluhan juta ringgit. Bila dipersoal azmin cuba cuci tangan kononnya dia tak terlibat malah dia menipu dalam media pada awalnya dengan mengatakan pemberian balak itu melalui tender terbuka. Pendedahan SAMM juga dijawab oleh salah seorang exco selangor dengan ugutan saman.
Namun seluruh kerajaan selangor harus malu mempunyai MB yang dibuktikan menipu di media apabila dokumen minit mesyuarat kerajaan negeri yang berlebel “rahsia” yang didedah membuktikan kelulusan tender balak itu sememangnya tidak melalui proses tender terbuka dan Azmin terlibat mempengerusikan mesyuarat exco meluluskannya. Azmin terus membisu.
5. Terbaru kami mendapat dokumen projek di bawah tajuk “Cadangan menyiapkan tempat letak kereta perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam”. Projek ini diluluskan kepada sebuah syarikat dengan nilai RM43juta. Soalnya apakah relevannya RM43juta dibazirkan hanya untuk menyiapkan PARKIR sebuah perpustakaan? Lebih jenaka lagi melalui carian di media, perpustaan itu sendiri disiapkan hanya dengan kos RM60 juta sahaja (sebelum azmin MB). Ini membawa maksud tempat letak kereta hampir sama harga dengan perpustakaan?
6. Kegilaan seumpama ini harus dihentikan. Dalam simpanan kami ada banyak lagi projek mengarut membazir dengan nilai amat tidak munasabah. Sampai bila perkara ini harus diteruskan?
7. Azmin dituntut menjelaskan butiran perbelanjaan projek yang diluluskan dari pintu gerbang (RM9.7j), ubah suai Masjid Shah Alam (RM69.04j) dan terbaru tempat letak kereta perpustakaan RaTU, Shah Alam.
8. Harus diingat, rakyat Selangor suatu ketika dulu berkorban menumbangkan kerajaan Umno kerana memilih perubahan dan reformasi bersama Pakatan Rakyat. Jika kerajaan Selangor terus membazir dan hanguskan duit rakyat, apakah pengorbanan rakyat Selangor dipersiakan?
9. PKR, DAP, Amanah malah Pas yang sama membentuk kerajaan selangor harus tampil juga menyatakan pendirian mengenai kegilaan kerajaan Selangor di bawah Azmin yang meluluskan projek dgn nilai yang sangat menjolok mata. Projek yang diagih tanpa tender terbuka ini amat bertentangan dengan perjuangan yang semua laungkan selama ini. Jika tidak rakyat akan melihat kamu sama sahaja seperti Umno barisan nasional.
Lebih lagi ini membuktikan kempen memperguna nama rakyat ‘Selamatkan Malaysia’ yang diterajui azmin bersama bapa angkatnya Mahathir hanya munafik semata-mata.
*Badrul Hisham Shaharin (cheGuBard), Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment