Umno dan BN tidak lagi boleh mendabik dada untuk meraih sokongan di tiga kerusi Parlimen yang masih berbaki mempunyai majoriti pengundi Melayu yang dimenangi mereka di Pulau Pinang.
Berdasarkan kepada senario politik terkini selera pengundi tidak lagi sama sepertimana kemenangan yang telah berjaya diperolehi dalam pilihan raya umum (PRU) 2013 bagi Parlimen Balik Pulau, Kepala Batas dan Tasek Gelugor.
Menurut Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Mohd Shariff Omar, kemenangan yang diperolehi oleh BN cukup tipis khususnya di Parlimen Balik Pulau.
“Dalam PRU ke 13, BN hanya mampu mendapat majoriti 1,539 undi di Balik Pulau.
“Kini ramai dikalangan ahli Umno sudah beralih kepada Bersatu dan tidak lagi menyokong Umno dan BN di Balik Pulau.
“Janji BN untuk mewujudkan Hospital Balik Pulau serta IPTA sehingga kini masih belum menjadi realiti walaupun janji-janji pilihan raya tersebut telah pun sampai ke penghujung, ” jelasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa era BN juga berkata, bagi kerusi Parlimen Kepala Batas, lebih 51,000 pengundi semakin menerima pelbagai program kebajikan kerajaan negeri sejak 2008 lagi.
“Walaupun dalam PRU yang lalu BN mampu mendapat majoriti 4,176 undi, ia bukan suatu perkara yang mustahil dalam situasi perpecahan yang berlaku dalam Umno kini.
“Kewujudan Bersatu dan Amanah pada kali ini memberi tamparan hebat kepada Umno dan BN maupun kepada Pas yang ingin bersekongkol dengan kerajaan yang zalim.
“Rakyat sudah sedar dan menerima hakikat kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang mampu mengubah nasib mereka sepertimana pelbagai program kebajikan yang telah dilaksanakan jika dibezakan pada masa saya menjadi exco kerajaan negeri dulu, ” ujarnya lagi.
Malah katanya bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pula kelemahan semakin terserlah walaupun BN menang hanya dengan majoriti 3,042 undi dalam PRU yang lalu.
“Lebih 3000 ahli Umno sudah pun meninggalkan parti tersebut menjadikan Tasek Gelugor sebagai Parlimen yang mempunyai ahli Bersatu yang paling ramai di Pulau Pinang.
“Sokongan yang pernah mereka perolehi sebelum ini tidak akan berulang sekali lagi walaupun mempunyai jumlah pengundi melebihi 54,000 orang.
“Ternyata kelemahan kepimpinan Umno dan BN dalam membela nasib rakyat semakin ketara, ” tegasnya.
Katanya lagi, perpecahan dalam Umno Tasek Gelugor kini semakin meruncing apabila nama Pengerusi Umno Negeri Pulau Pinang yang juga Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal disebut-sebut akan bertanding di Tasek Gelugor.
Sekaligus ia membuktikan Umno sendiri sedang membuat percaturan bagi menolak kepimpinan Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor sedia ada.
Calon Pakatan Harapan
Beliau juga berkata PH mempunyai ramai calon yang berkaliber dan mampu menang bagi memastikan kemenangan kerusi-kerusi parlimen yang disasarkan tersebut.
“Dakyah yang dimainkan oleh Umno dan BN sudah tidak mampu mempengaruhi pengundi.
“Program kebajikan seperti sumbangan tahunan kepada warga emas, anak emas yang baru dilahirkan, pelajar tahun satu dan tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat serta pelajar yang memasuki IPT telah lama diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
“Selain itu pemberian sebanyak RM100 kepada penarik beca secara bulanan, pemberian sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, sumbangan tahunan kepada operator bas sekolah dan nelayan tidak pernah dilaksanakan semasa zaman BN menerajui Pulau Pinang dulu,”tambahnya.
Katanya lagi, program Agenda Ekonomi Saksama atau AES yang mensasarkan sumbangan ‘top up’ setiap bulan oleh kerajaan negeri bagi pendapatan isi rumah dibawah RM790 banyak membantu golongan miskin lagi daif.
Oleh kerana itu tegasnya, kepelbagaian skim dan program peduli rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri akan meranapkan segala impian Umno dan BN untuk merampas kembali Pulau Pinang dalam PRU yang akan datang.
“Semasa saya berada dalam kerajaan BN sebagai Timbalan Ketua Menteri maupun sebagai exco apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri kini belum pernah dilakukan semasa BN memimpin negeri dahulu.
“Semalam pun kerajaan negeri telah mengumumkan pembayaran sebanyak RM500 dalam bentuk ‘one-off’ bagi setiap isi rumah yang menjadi mangsa banjir amat membantu keluarga mangsa terlibat.
“Sepatutnya kerajaan Pusat meneladani apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri PH Pulau Pinang dalam membantu rakyat tanpa banyak birokrasi dan permainan politik khususnya dalam mengatasi musibah banjir ketika ini, ” jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment